12 tahun Gaza dikepung
WARGA Palestin, di Tebing Gaza, pada 30 Mac 2019 yang lalu menyambut peringatan satu tahun pergerakan besar-besaran untuk kembali ke tanah air mereka (Great Return March) yang dimulai 30 Mac 2018, sebagai protes untuk menentang rejim Israel merampas tanah mereka sejak 1948.
Tanggal 30 Mac itu adalah peringatan setiap tahun “Hari Tanah” yang mengangkat peristiwa 1976 di mana tanah orang Palestin dirampas oleh rejim Israel di Tebing Barat iaitu Gelele di utara dan Negev di selatan.
Dalam penentangan itu enam warga Palestin yang turut berdemonstrasi ditembak dan terbunuh oleh rejim Israel.
Kepungan ke atas Tebing Gaza berjalan sehingga sekarang: darat, laut dan udara.
Ia dikuatkuasakan oleh Israel dan Mesir sejak 2007, selepas pentadbiran Gaza diambil alih oleh Hamas yang menggantikan Fatah (pihak berkuasa Palestin).
Sejak itu Gaza dikepung dan bertukar menjadi penjara terbuka terbesar di dunia melibatkan hampir dua juta warga Palestin di Gaza.
Sekatan yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa itu menyebabkan bekalan ubat, air, elektrik, keperluan asas seperti makanan dan penyelenggaraan prasarana terjejas teruk.
Keadaan lebih parah apabila Gaza diserang oleh tentera rejim Israel dalam empat serangan besar antara 2009-2018 melibatkan kematian ribuan warga Palestin, puluhan ribu tercedera dan pemusnahan prasarana seperti sekolah, masjid, bangunan kerajaan, universiti, kawasan pertanian, hospital, balai polis, perumahan dan infrastruktur bekalan air dan elektrik.
Penderitaan rakyat Gaza kini berterusan lebih 12 tahun.
Sejak gerakan Great Return March 2018 dicetuskan di Gaza, lebih 260 terbunuh dan lebih 6,400 warga Palestin tercedera oleh tembakan rambang askar rejim Israel yang menyasar peserta demonstrasi bila mereka berarak ke sempadan Gaza-Israel.
Peserta perarakan yang terdiri daripada kanak-kanak, wanita, warga emas, petani, pekerja, pelajar, ahli profesional, paramedik, jurnalis dan aktivis masyarakat.
Warga Palestin hanya bersenjatakan bendera dan batu. Tentera Israel menggunakan penembak tepat (snipers) dengan peluru hidup, kereta kebal, gas pemedih mata, menembak kanak-kanak semuda 3 tahun sehingga warga tua 71 tahun. Yang ditembak termasuk remaja, wanita, jurnalis dan paramedik.
Bulan yang lalu suruhanjaya Inkuari PBB (COI) menerbitkan laporan yang mengutuk rejim tentera Israel yang menggunakan kekerasan melampau terhadap protes aman oleh warga Palestin.
Polisi askar Israel menyasar dan membunuh mereka yang dikatakan “penghasut utama” untuk menentang Israel.
Istilah ini tidak wujud di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa (IHL) atau undang-undang hak manusia (IHRL).
Tetapi Israel sengaja mewujudkannya untuk menjustifikasi tindakannya menembak dan membunuh atau mencederakan warga awam Palestin yang memprotes.
Malah sejak 2007 lagi Israel menggunakan istilah pemprotes di Gaza sebagai entiti musuh. Dengan itu menghalang mangsa Palestin untuk membawa sebarang tuntutan di mahkamah.
Warga Palestin di seluruh Gaza dianggap oleh rejim Israel bukan warga sivil tetapi sebagai musuh yang boleh dibunuh, dicederakan atau ditahan.
Dengan wewenang tentera Zionis Israel boleh mengkategorikan sebuah keluarga, sebuah kumpulan yang memprotes, atau seluruh penduduk Palestin di sebuah kawasan, sah untuk dijadikan sasaran untuk sema ada dibunuh atau dicederakan.
Rakyat Palestin hilang hak untuk dilindungi, padahal ia dijamin di bawah undang-undang antarabangsa.
Keganasan Israel ini menerima kecaman antarabangsa, namun rejim penjenayah Israel tidak peduli.
Mereka yang terlibat dalam perarakan di Gaza itu semuanya digolongkan sebagai teroris dan layak ditangani dengan kekerasan, hatta terhadap warga sivil, termasuk kanak-kanak dan jurnalis.
Semuanya didakwa mempunyai hubungan dengan teroris. Justifikasi ini diguna untuk warga sivil dijadikan sasaran ditembak oleh rejim Israel.
Dengan takrif polisi Israel yang sangat luas, sebarang protes daripada warga Palestin mudah dikategorikan sebagai ada hubungan dengan terorisme.
Demikian hak untuk membantah, hak asasi manusia untuk berkumpul secara aman dilihat sebagai pengancam kepada Israel.
Penderitaan penduduk Gaza yang sekian lama menunjukkan masyarakat dunia, terutama agensi antarabangsa dan pemimpin Islam gagal melaksanakan tanggungjawab membela mereka yang ditindas.
Kepungan haram ke atas Gaza yang jelas sangat zalim dan bertentangan dengan undang-undang antarabangsa sepatutnya dibatalkan dan tentera pengaman PBB ditempatkan di Gaza.
Paling tidak sempadan Rafah di sebelah Mesir sepatutnya dibuka dan bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk tanpa sekatan.
* Penulis ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!