Wanita pendidikan tinggi mahu lebih fokus jaga keluarga

Lebih 60 peratus wanita yang bekerja berumur dalam lingkungan 25 hingga 34 tahun.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
Lebih 60 peratus wanita yang bekerja berumur dalam lingkungan 25 hingga 34 tahun.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
A
A
A

SHAH ALAM - Wanita berpendidikan tinggi atau pendidikan peringkat tertiari di Malaysia lebih memilih untuk fokus menjaga keluarga berbanding kerjaya.

Timbalan Pengerusi Kluster Ekonomi dan Kesejahteraan Sosial Akademi Profesor Malaysia (APM), Profesor Dr Nor Aishah Buang berkata, kajian menunjukkan pendidikan tertiari berkait hubungan negatif dengan sektor pekerjaan di Malaysia.

Beliau berkata, lebih 60 peratus wanita yang bekerja berumur dalam lingkungan 25 hingga 34 tahun.

“Sementara itu, dapatan kajian mendapati kebanyakan wanita yang tidak bekerja adalah pada umur 35 hingga 44 tahun.

“Golongan tersebut bekerja sekejap sahaja iaitu hanya beberapa tahun dan kemudian mereka akan berhenti untuk menjaga anak-anak yang masih bersekolah rendah.

“Apabila anak-anak sudah besar dan boleh berdikari, umur wanita yang kebanyakannya sudah melebihi 40 tahun ke atas tidak lagi fleksibel serta sesuai untuk bekerja,” katanya.

Dalam pada itu, Nor Aishah berkata, keadaan itu berisiko menjejaskan sektor pekerjaan yang memerlukan tenaga wanita secara spesifik.

“Pekerjaan seperti jururawat dan guru akan terkesan, malah produktiviti ekonomi juga terjejas ekoran kekurangan pekerja,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai budaya golongan wanita tidak lagi menjadi suri rumah, beliau berpandangan, Malaysia sudah bersedia dari aspek teknologi maklumat, namun masih belum bersedia dari segi bantuan sosialisasi pendidikan di rumah.

“Maksudnya, untuk memudahkan wanita bekerja dan tidak menjadi suri rumah, perlu ada bantuan sistem pendidikan di rumah berasaskan komuniti,” tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!