Lima tahun etnik Rohingya terpenjara

Kem pelarian Kutupalong di Ukhia yang menjadi tempat berlindung hampir sejuta pelarian Rohingya sejak 2017.
Kem pelarian Kutupalong di Ukhia yang menjadi tempat berlindung hampir sejuta pelarian Rohingya sejak 2017.
A
A
A

COX'S BAZAR - Ribuan pelarian Rohingya menyertai perhimpunan ‘Hari Memperingati Genosid’ pada Khamis di kem penempatan sementara yang menjadi tempat perlindungan di Bangladesh sejak lima tahun lalu.

Golongan itu turut membawa plakad dan melaungkan slogan menuntut jaminan untuk pulang dengan selamat ke kampung halaman mereka di negeri Rakhine, barat Myanmar yang kekal menjadi tuntutan utama golongan tersebut sehingga kini.

“Tanggal 25 Ogos adalah hari ribuan penduduk Rohingya dibunuh kejam tanpa perikemanusiaan.

"Kira-kira lima tahun lalu, hampir sejuta hilang tempat tinggal dan lebih 300 perkampungan kita dibakar,” kata pemimpin komuniti dikenali sebagai Maung Sawyedollah dengan linangan air mata ketika berucap di Kem Kutupalong, Ukhia di daerah Cox's Bazar.

Sementara itu, seorang lagi pemimpin, Sayed Ullah menzahirkan rasa kesal kerana komuniti antarabangsa gagal bertindak untuk membela nasib mereka.

Pada Ogos 2017, kira-kira 750,000 etnik Muslim minoriti tersebut melarikan diri daripada kekejaman tentera dan kumpulan pelampau Buddha di Myanmar.

Kini, jumlah golongan berkenaan yang berlindung di kem hanya dilengkapi pondok serba daif mencecah hampir sejuta orang dan separuh daripada mereka berusia di bawah 18 tahun.

Difahamkan, beberapa usaha penghantaran pulang golongan itu telah gagal kerana mereka enggan kembali tanpa mendapat jaminan hak dan keselamatan di Myanmar.

Artikel Berkaitan:

Menurut beberapa pemimpin komuniti, situasi keselamatan di kem penempatan di Bangladesh itu yang dikelilingi kawat berduri juga semakin membimbangkan setelah kira-kira 100 individu dilaporkan terbunuh sejak 2017.

Sebahagian besar insiden keganasan tersebut dikatakan berpunca daripada kumpulan pemberontak Rohingya dan geng yang terlibat dengan sindiket penyeludupan serta pemerdagangan manusia.

Seorang pelarian Rohingya membina dinding pondok menggunakan botol kosong sebagai ganti batu bata.
Seorang pelarian Rohingya membina dinding pondok menggunakan botol kosong sebagai ganti batu bata.

“Ia seperti penjara buat kami. Kedai-kedai yang kami dirikan telah dirobohkan.

"Kami juga terpaksa meminta kebenaran untuk keluar dari kem penempatan ini jika mahu bertemu saudara-mara atau rakan,” kata salah seorang aktivis yang enggan identitinya didedahkan.

Laporan kaji selidik terbaharu diterbitkan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) mendapati tahap kebersihan sekitar kem berkenaan semakin teruk dengan peningkatan kes cirit-birit dan jangkitan kulit seperti kudis.

Tahun lalu, kebakaran besar di kem penempatan tersebut telah meragut sekurang-kurangnya 15 nyawa, manakala lebih 45,000 pelarian hilang tempat berteduh.

Bagi mengatasi masalah kesesakan, pihak berkuasa Bangladesh turut memindahkan kira-kira 30,000 pelarian Rohingya ke pulau terpencil, Bhasan Char yang terletak di Teluk Bengal dan didakwa terdedah kepada ancaman banjir serta ribut monsun.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menggesa lebih banyak dana dan sokongan daripada komuniti antarabangsa untuk melindungi hak asas pelarian Rohingya.

Bagaimanapun, Menteri Luar Bangladesh, A K Abdul Momen berpendapat penghantaran pulang secara sukarela dan mampan adalah satu-satunya jalan penyelesaian kepada krisis tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!