Jual barangan tiruan secara online
SHAH ALAM - Peniaga dalam talian mampu mengaut keuntungan besar dengan mudah apabila menjual barangan berjenama tiruan menerusi media sosial dan platform-platform tertentu.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, peniaga dalam talian tidak perlu menyewa premis perniagaan, sekali gus dapat mengurangkan kos seperti bil utiliti atau upah pekerja bagi tujuan jualan.
“Ia secara tidak langsung menjimatkan kos operasi perniagaan dalam talian dan memberikan pulangan lebih kepada peniaga tersebut,” katanya kepada Sinar Harian di Ibu Pejabat KPDNHEP di Putrajaya baru-baru ini.
Menurut beliau, selain melaksanakan pemeriksaan di premis perniagaan, KPDNHEP turut melakukan pemantauan ke atas para peniaga dalam talian bagi mengesan kegiatan jualan barangan berjenama tiruan.
“Tindakan penguatkuasaan adalah berdasarkan maklumat awal daripada pengadu mahupun risikan yang dijalankan sendiri oleh pegawai KPDNHEP.
“Kita akan memastikan individu atau syarikat yang mengambil kesempatan dalam mengaut keuntungan daripada penjualan barangan tiruan ini dikenakan tindakan tegas di bawah undang-undang yang dikuatkuasakan oleh KPDNHEP sama ada secara fizikal atau secara dalam talian,” tegasnya.
MEDIA SOSIAL
Azman berkata, modus operandi terkini kegiatan penjualan barang tiruan yang dikesan adalah peniaga menjual barangan berkenaan melalui media sosial dan penyedia tapak-tapak pasar terkenal dalam talian.
“Kemasukan barangan tiruan adalah melalui pintu masuk negara ataupun trend terkini pembelian secara dalam talian yang dihantar melalui kurier dan sebagainya.
“Selain itu, ada antara peniaga yang terlibat menjadikan rumah sewa atau kediaman sebagai stor penyimpanan stok barangan mereka sebelum dipasarkan ke seluruh negara,” katanya.
Azman memberitahu, lambakan barangan berjenama tiruan di pasaran adalah berpunca daripada banyak faktor, antaranya permintaan yang tinggi.
“Lambakan barang tiruan ini berpunca daripada permintaan tinggi pengguna yang mahu memakai barangan berjenama (branded) tetapi hanya mampu membeli dengan harga murah,” ujarnya.
Beliau berkata, kebanyakan barangan yang berjenama sememangnya dijual pada harga mahal kerana ia lebih berkualiti.
“Kesedaran pengguna berhubung perkara ini perlu dipertingkatkan dari segi keselamatan dalam membeli barangan tiruan tersebut,” ujarnya.
Azman berkata, pihaknya mendapati ada peniaga menjual barang tiruan dengan harga hampir sama dengan barang asli kerana ada barangan tiruan tersebut nampak seakan-akan sama dari segi kualitinya dengan yang asli.
“Namun, pengguna tegar pada barangan berjenama ini selalunya dapat membezakan antara kualiti asli dan tiruan tersebut,” katanya.
WARGA ASING
Beliau berkata, kegiatan penjualan barangan tiruan ini turut disertai warga asing.
“Memang ada antara kes melibatkan warga asing dan ada juga melibatkan warga tempatan yang mementingkan keuntungan ke atas pekerja-pekerja warga asing dengan upah yang rendah.
“Perkara ini berlaku disebabkan ada permintaan daripada pengguna terutamanya ke atas pakaian berjenama, aksesori berjenama dan sebagainya kerana harga barang tiruan ini jauh lebih murah,” katanya.
Menurutnya, sasaran lokasi pemeriksaan dan serbuan yang dijalankan oleh anggota penguat kuasa KPDNHEP adalah berpandukan maklumat berasaskan aduan, viral dan juga lokasi hotspot barangan tiruan.
“Disebabkan ramai yang membuat aduan di lokasi-lokasi tertentu seperti di premis kecil atau kompleks perniagaan yang popular, KPDNHEP dilihat seolah-olah hanya melakukan pemeriksaan atau tindakan di lokasi tersebut.
“Hakikatnya, KPDNHEP juga telah menjalankan banyak serbuan di stor-stor penyimpanan. Tetapi kebiasaannya stor-stor ini tidak terletak berhampiran kawasan tumpuan orang awam,” ujarnya.
Beliau berkata, tindakan yang diambil bukan sahaja menerusi pelaksanaan operasi atau serbuan, tetapi beberapa mekanisme lain juga diguna pakai dalam membuat penguatkuasaan terhadap penjualan barang tiruan.
“Kita turut melaksanakan pemeriksaan secara proaktif iaitu pemeriksaan berkala ke kawasan yang didapati bergiat aktif dengan aktiviti penjualan dan pengedaran barangan tiruan.
“Tindakan reaktif iaitu pemeriksaan dan serbuan ke atas premis yang menjual barangan berjenama tiruan berdasarkan aduan daripada pemilik cap dagang berdaftar mahupun orang awam,” katanya.
Azman berkata, pendekatan preventif atau pencegahan seperti KPDNHEP bekerjasama dengan pemilik kompleks beli- belah dan persatuan peniaga untuk mendidik para peniaga tentang undang-undang dan etika perniagaan.
“Hasrat kita adalah supaya dapat membentuk self-regulatory (kawal selia sendiri) dalam kalangan peniaga," katanya.
Azman berkata, pihaknya juga menjalankan risikan ke lokasi pengedaran barang tiruan.
“Hasil laporan risikan akan membantu dalam merancang tindakan operasi serbuan dengan lebih berkesan pada masa akan datang,” katanya.
PETUGAS KHAS
Beliau berkata, KPDNHEP juga terlibat dalam Pasukan Petugas Khas Membanteras Barang Tiruan dan Cetak Rompak.
“Pasukan petugas khas ini melibatkan pelbagai agensi kerajaan serta pihak industri bagi menyelaras tindakan bersepadu dalam membendung barang-barang tiruan dan cetak rompak di pasaran negara.
“Antara agensi kerajaan yang menganggotai pasukan ini ialah Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan, Pejabat Peguam Negara dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri,” katanya.
Menurut Azman, berdasarkan statistik penguatkuasaan KPDNHEP berkaitan barangan tiruan, sebanyak 651 kes telah direkodkan dengan jumlah nilai rampasan RM8.65 juta dalam operasi di seluruh negara pada tahun 2018.
“Pada tahun 2019 pula, sebanyak 663 kes melibatkan jumlah rampasan RM18.10 juta, jumlah kes meningkat pada 2020 iaitu sebanyak 1,015 kes dengan jumlah nilai rampasan RM32.85 juta,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 295 kes dilaporkan pada tahun lalu dengan nilai rampasan berjumlah RM10.56 juta.
“Statistik pada 1 Januari hingga 30 Jun lalu, sebanyak 137 kes telah direkodkan dengan jumlah nilai rampasan RM2.47 juta,” katanya.
Jelas Azman, pihaknya telah melakukan tindakan proaktif dalam usaha memastikan pemilik premis mematuhi arahan dan tidak membenarkan atau memberikan mana-mana pihak menjalankan aktiviti penjualan barangan tiruan atau cetak rompak dengan pengesahan terima notis peringatan yang telah dikeluarkan.
“Sejak 2020 hingga Jun lalu, sebanyak 2,056 notis telah dikeluarkan di seluruh negara kepada premis atau pemilik bangunan yang dikenal pasti bagi tujuan terbabit,” katanya.
KERJASAMA SEMUA PIHAK
Azman berkata, kegiatan penjualan barang tiruan merupakan isu yang serius dan perlu ditangani dengan kerjasama semua pihak termasuk pemain industri dan pengguna itu sendiri.
“KPDNHEP menguatkuasakan Akta Cap Dagangan 2019 dan di bawah peruntukan undang-undang ini, sebarang tindakan berhubung barangan tiruan memerlukan kerjasama atau aduan daripada pemilik cap dagang itu sendiri.
“Di pihak kementerian pula, banyak tindakan dan operasi telah dijalankan bagi membanteras kegiatan cetak rompak ini antaranya melalui pelaksanaan Ops Tiru dan operasi serta pemeriksaan bersama pemilik cap dagangan sendiri,” katanya.
Individu yang melakukan kesalahan berkaitan aktiviti penjualan barangan tiruan kes akan disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun.
“Kita mengambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 kepada individu atau syarikat yang didapati bersalah dalam membekal dan menjual barangan tiruan atau menyediakan dan menyewakan premis bagi tujuan aktiviti penjualan barangan tiruan,” ujarnya.
Azman berkata, pengguna juga disaran supaya tidak menyokong penjualan barangan tiruan kerana ia boleh membahayakan keselamatan dan kesihatan terutamanya barang-barang yang berkaitan makanan, ubat-ubatan, peralatan keselamatan, alat ganti kenderaan dan peralatan elektrik.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung isu barang tiruan termasuk tempat penyimpanan, pembuatan dan pembekalan barang tiruan boleh menghubungi KPDNHEP melalui talian 1-800-886-800 atau WhatsApp 019-279 4317/019-848 8000, portal aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my dan emel di e-aduan@kpdnhep.gov.my.
ANTARA RAMPASAN BARANGAN TIRUAN OLEH KPDNHEP
Kes 1
PULAU PINANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang telah menyerbu dua premis disyaki menjual barangan tiruan berjenama antarabangsa di Gelugor dan Jelutong pada 3 Ogos lalu.
Serbuan pertama di Kampung Kastam, Gelugor melibatkan premis menjual pakaian, kasut, tali pinggang, topi dan beg manakala serbuan kedua pula di sebuah rumah di Lintang Sungai Pinang, Jelutong.
KPDNHEP telah menyita 44 buah beg, 37 helai t-shirt, 78 pasang selipar, 16 unit tali pinggang, 15 unit topi disyaki tiruan bernilai M9,130 dalam serbuan tersebut.
KPDNHEP turut merampas 336 minyak wangi bernilai RM5,376 disyaki menggunakan cap dagangan palsu di lokasi kedua. Seorang lelaki tempatan yang merupakan pemilik rumah ditahan.
Kes 2
KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu merampas lebih 1,300 barangan tiruan bernilai RM27,612 dalam tiga serbuan di negeri ini pada 19 Julai lalu.
Pengarah KPDNHEP negeri, Saharuddin Mohd Kia berkata, serbuan berkenaan dibuat terhadap dua premis di daerah ini dan satu di Marang yang disyaki menjual barang tiruan.
Katanya, enam lelaki tempatan berusia 20-an turut ditahan bagi membantu siasatan.
Dalam serbuan pada jam 12 tengah hari semalam, KPDNHEP merampas 105 unit beg tangan, dompet dan selipar serta 1,232 botol minyak wangi yang dipercayai dipakaikan cap dagangan secara salah.
Kes 3
IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak merampas pakaian dan beg tiruan bernilai RM34,430 selepas menyerbu sebuah rumah di Taman Cempaka di sini pada 19 Mei lalu.
Pengarahnya, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, risikan mendapati rumah teres satu tingkat itu disyaki dijadikan stor penyimpanan dan membungkus barangan tiruan berjenama terkenal.
Pasukan pemeriksaan bertindak menyita sebanyak 1,147 helai pakaian yang terdiri dari seluar dan beg berjenama terkenal pelbagai saiz dan warna.
"Kesemua barang yang disita tersebut disimpan di stor ekshibit KPDNHEP Perak untuk siasatan lanjut," katanya,
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!