PRU15: Tunai kewajipan, tanggungjawab pada negara
KEPUTUSAN kerajaan mempercepatkan pembentangan Bajet 2023 memberi isyarat jelas bahawa Parlimen akan dibubarkan dalam masa terdekat sekali gus memberi ruang kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan sebelum berakhirnya tahun 2022.
Pelbagai spekulasi dilontarkan banyak pihak mengenai tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu, namun menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, keputusan tersebut dikenakan mengikut kuasa di bawah Peraturan Peraturan Mesyuarat 11(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Peraturan Mesyuarat 10(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara.
Wan Junaidi juga menjelaskan, perubahan itu dibuat berikutan terdapat keperluan untuk kerajaan meminda takwim Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Keempat Belas 2022.
Menguatkan lagi spekulasi mengenai PRU15 akan diadakan sebelum 2023 apabila beberapa gabungan dan parti-parti politik dijadualkan akan mengadakan perhimpunan besar serentak hari ini bagi membincangkan kesiapsiagaan masing-masing dalam menghadapi pilihan raya nanti.
Ditambah dengan situasi yang berlaku dalam beberapa hari kebelakangan ini melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dikekalkan hukuman penjara dan denda selepas didapati bersalah menyeleweng dana SRC International, maka sudah tentu ada desakan daripada UMNO untuk mempercepatkan PRU15 bagi mengelak risiko terpalit isu lebih besar jika dibiarkan berlarutan.
Justeru jika benar ‘tekaan’ banyak pihak bahawa PRU15 akan berlaku tahun ini, sudah pasti memberi kegusaran kepada rakyat yang terpaksa berhadapan dengan kekalutan politik tanah air.
Manakan tidak, setelah menghadapi beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) sepanjang tahun ini, rakyat terpaksa turun padang semula untuk mengundi bagi menentukan kerajaan yang akan memerintah selepas ini.
Adakah wajar PRU15 diadakan tahun ini? Terpulang pada pandangan masing-masing, namun melihat situasi ketika ini dengan pelbagai perkara ‘mengejut’ dibongkarkan, mungkin tahun ini belum sesuai kerana hanya berbaki beberapa bulan sahaja lagi untuk tamat penggal Parlimen ke-14.
Sebagai rakyat, kita tunggu dan lihat sahajalah apa yang bakal dipersembahkan. Jika benar seperti sangkaan bahawa PRU15 akan berlaku tahun ini juga, maka terpaksalah rancang perjalanan lebih awal untuk pulang ke kawasan masing-masing bagi mengundi. Ingat, tunaikan kewajipan pada negara adalah tanggungjawab kita.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!