Perhilitan tahan tiga pemburu haram
KUALA LUMPUR - Kegiatan sekumpulan individu menangkap dan memburu hidupan liar dilindungi terbongkar selepas diberkas di kawasan ladang kelapa sawit sekitar Bera, Pahang pada 21 Ogos lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, tiga lelaki berusia lingkungan 35 hingga 50 tahun berjaya ditahan kira-kira jam 3.30 petang oleh sepasukan anggota Perhilitan.
Menurutnya, Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) serta Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) telah merampas spesies burung bayan serindit dan bahagian hidupan liar disyaki bangkai ayam hutan dan pelanduk.
"Hidupan liar itu diburu dan disimpan suspek tanpa sebarang dokumen sah daripada Perhilitan.
"Kita turut merampas dua laras senapang angin buatan sendiri yang digunakan untuk memburu hidupan liar," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau berkata, kesemua barang dan rampasan hidupan liar telah dibawa ke Pejabat Pengurusan Tapak Ramsar Tasek Bera, Pahang untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, ketiga-tiga suspek juga direman lima hari untuk siasatan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan Akta Senjata Api 1960 (Akta 206).
"Perhilitan sentiasa memantau kegiatan pemburu haram dan pemasangan jerat haram. Saya ingin memberi amaran bahawa Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] telah diluluskan pindaannya.
"Hukuman bagi kesalahan pemburuan haram amatlah berat dan tiada kompromi jabatan dalam menangani aktiviti ini," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!