Asyraf Wajdi bertanding di Perak hanya spekulasi

Saarani (tengah) bersama Asyraf Wajdi ketika ditemui media selepas merasmikan Karnival Sukan Pemuda UMNO Negeri Perak di Manjung pada Sabtu.
Saarani (tengah) bersama Asyraf Wajdi ketika ditemui media selepas merasmikan Karnival Sukan Pemuda UMNO Negeri Perak di Manjung pada Sabtu.
A
A
A

LUMUT - Dakwaan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki akan bertanding di mana-mana kerusi parti itu di Perak disifatkan sebagai satu spekulasi.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, belum ada keputusan muktamad berhubung calon atau parti gabungan BN yang akan bertanding mewakili 24 kerusi Parlimen di Perak.

"Beliau sangat rajin dengan turun di setiap program Pemuda UMNO. Kita memerlukan seorang ketua pemuda berkarakter sebegini jadi jangan ada yang keliru sekiranya beliau sering turun di Perak mahupun Selangor.

"Itu hanya spekulasi kerana keputusan calon belum ada lagi malah di peringkat pusat pun belum lagi dibincangkan siapa atau parti mana yang akan bertanding," katanya selepas merasmikan Karnival Sukan Pemuda UMNO Negeri Perak di Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung di sini pada Sabtu.

Saarani (enam dari kanan) bersama Pemuda UMNO yang hadir pada Karnival Sukan Pemuda UMNO Negeri Perak di Manjung.
Saarani (enam dari kanan) bersama Pemuda UMNO yang hadir pada Karnival Sukan Pemuda UMNO Negeri Perak di Manjung.

Hadir sama, Asyraf Wajdi dan Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau mengulas mengenai dakwaan kerusi Parlimen dihalang oleh Menteri Besar Perak susulan kenyataan Saarani bahawa tiada calon 'payung terjun' diletakkan untuk bertanding di mana-mana kerusi.

Dalam perkembangan lain, Saarani meminta pengundi dari kaum Cina dan India dapat kembali memberi sokongan kepada BN

Artikel Berkaitan:

"Mengambil pengalaman PRU14 lalu, tiada seorang pun wakil rakyat atau calon MCA dan MIC menang atas nama BN. Bila hendak tubuh kerajaan, saya tiada wakil daripada kedua-dua kaum ini.

"Berilah peluang kepada wakil mereka daripada BN dan sekiranya menang ia bermakna akan ada wakil UMNO, MCA dan MIC dalam Kerajaan Perak," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!