Berarak 3.5 kilometer semai semangat patriotik
ALOR SETAR – Lebih 100 penduduk Taman Saga mempunyai cara tersendiri dalam menyambut ketibaan Hari Kemerdekaan ke-65 dengan mengadakan perarakan sejauh 3.5 kilometer (km) pada Program Kembara Asyura Merdeka pada Sabtu.
Pengerusi Persatuan Penduduk Islam Taman Saga, Dr Abdul Salim Tajuddin berkata, peserta terdiri daripada pelbagai peringkat umur berjalan kaki, berbasikal dan menunggang motosikal di sekitar taman perumahan itu.
Menurutnya, program itu turut disertai warga emas yang tidak ketinggalan menunjukkan semangat kemerdekaan tinggi meskipun jarak perarakan agak jauh.
“Melalui perarakan itu, kita berharap ia secara tidak langsung dapat menyemai semangat patriotik dalam kalangan peserta khususnya golongan muda dan kanak-kanak sekali gus mengeratkan hubungan antara penduduk.
“Kita turut berharap program ini dapat memeriahkan lagi sambutan Bulan Kemerdekaan tahun ini melalui perarakan sejauh 3.5 km itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di taman perumahan itu pada Sabtu.
Dr Abdul Salim menjelaskan, aktiviti perarakan itu juga disertai penduduk Kampung Ganding, Kampung Kuala Alor, Kampung Tok Seron, Taman Mangga serta Taman Tunku Yaakob yang menjadi acara tahunan di kawasan itu.
Tambah beliau, aktiviti pemeriksaan kesihatan, cabutan bertuah dan acara kacau bubur Asyura sempena Awal Muharam turut memeriahkan lagi aktiviti perarakan pada tahun ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!