Pemuda UMNO teruskan tindakan saman

Asyraf Wajdi berucap pada Karnival Sukan Pemuda UMNO Negeri Perak di Manjung pada Sabtu.
Asyraf Wajdi berucap pada Karnival Sukan Pemuda UMNO Negeri Perak di Manjung pada Sabtu.
A
A
A

LUMUT - Pemuda UMNO akan meneruskan tindakan saman dengan menghantar surat tuntutan (letter of demand) kepada dua syarikat berita, Isnin ini.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan itu diambil susulan laporan berita agensi terbabit didakwa tidak benar dengan memetik sumber tidak berasas.

"Kita akan hantar 'letter of demand' Isnin ini. Ia penting sebagai satu pengajaran bahawa media massa harus berpegang teguh kepada etika kewartawanan.

"Kita kena hentikan kaedah pelaporan daripada sumber dalaman atau sumber yang tidak dapat kita uar-uarkan namanya," katanya ketika ditemui pada Karnival Sukan Pemuda UMNO Negeri Perak di Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Asyraf Wajdi berkata, maklumat yang disampaikan oleh agensi berita berkenaan disifatkan sebagai suatu fitnah.

"Ini semua bertentangan dengan etika kewartawanan apatah lagi maklumat yang disampaikan adalah tidak betul dan tidak benar bahkan boleh dikatakan fitnah.

"Sebab itu kami di peringkat Pemuda UMNO bersedia untuk menyaman kedua-dua agensi ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Media melaporkan Asyraf Wajdi menerusi catatan di Facebooknya telah berbincang dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan peguam UMNO untuk menyaman Malaysiakini dan Astro AWANI.

Malaysiakini pada Jumaat menerbitkan laporan yang bertajuk 'Kata dua UMNO buat PM: Bubar Parlimen atau dipecat'.

Beliau juga memetik laporan Astro AWANI bertajuk 'Majoriti Ketua Bahagian UMNO tolak usul desak PM campur tangan kes SRC – Sumber' yang diterbitkan pada 22 Ogos lepas.

Artikel Astro AWANI ini memetik sumber dalaman yang mendedahkan ramai ketua bahagian yang hadir mesyuarat tersebut tidak bersetuju dengan arahan yang dikeluarkan pemimpin utama UMNO.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!