Keputusan MCMC mengenai perjanjian DNB pada 29 Ogos
[KEMAS KINI] MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, perbincangan mengenai perjanjian kepentingan Digital Nasional Bhd (DNB) berjalan dengan baik dan akan memenuhi tarikh akhir apabila pemeteraian oleh enam syarikat telekomunikasi akan diadakan pada 31 Ogos.
Beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mempengerusikan mesyuarat pada 29 Ogos untuk memutuskan beberapa terma.
"Saya tahu apa yang akan diputuskan oleh MCMC dan ia baik untuk semua pihak. Saya yakin semua pihak boleh terima,” katanya dalam lawatan ke Celcom Business Tech Week 2022 dan pelancaran Axiata Group Bhd Cyber Fusion Centre (ACFC) pada Sabtu.
Dalam pada itu, Annuar berkata, Kabinet pada Jumaat bersetuju agar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 589) sedia ada dipinda bagi memberikan peruntukan undang-undang yang lebih kukuh dalam mendepani ancaman keselamatan siber.
Katanya, cadangan pindaan itu dibentangkan beliau kepada Kabinet pada Jumaat dan telah dipersetujui.
"Diharap pada persidangan Parlimen akan datang, kami boleh bentangkan pindaan kedua-dua akta. Antara lain pindaan itu adalah untuk memperkukuh dan mempunyai peruntukan yang mencukupi bagi melaksanakan aspek keselamatan siber,” katanya.
Annuar berkata, pindaan itu amat diperlukan kerana ekosistem perkhidmatan telekomunikasi negara kini berdepan dengan ancaman penipuan dalam talian dan penggodaman oleh individu tidak bertanggungjawab.
- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!