Celcom perkukuh ciri keselamatan siber menerusi ACFC

Annuar (dua dari kiri) meninjau pusat kawalan operasi ACFC.
Annuar (dua dari kiri) meninjau pusat kawalan operasi ACFC.
A
A
A

CELCOM Axiata Berhad (Celcom) menubuhkan Pusat Siber Bersatu Axiata (ACFC) bagi meningkatkan ciri keselamatan siber.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Datuk Idham Nawawi berkata, ACFC berfungsi sebagai pusat pemantauan ancaman digital dan melindungi data perusahaan.

Menurutnya, ACFC yang beroperasi di ibu pejabat Celcom merupakan sebahagian pelaburan jangka panjang bagi meningkatkan kepercayaan dan daya tahan digital kepada masyarakat.

"Sejak 2018, Celcom telah melabur lebih RM65 juta bagi memperkukuh keupayaan keselamatan siber.

"ACFC merupakan inisiatif terbaharu dalam siri pelaburan ini yang diyakini mampu menyumbang ekosistem digital yang cekap bagi keselamatan siber selari dengan perkembangan teknologi pesat di Malaysia," katanya pada pelancaran ACFC di ibu pejabat Celcom pada Sabtu.

Annuar (tengah) melancarkan ACFC di ibu pejabat Celcom pada Sabtu.
Annuar (tengah) melancarkan ACFC di ibu pejabat Celcom pada Sabtu.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, ACFC dilengkapi keupayaan pertahanan dan serangan aktif yang membolehkan tindakan proaktif serta pencegahan ancaman siber untuk sesebuah organisasi.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai penyedia perkhidmatan lebih 34 tahun, Celcom komited membina ekosistem digital yang lebih mampan yang akan memberi manfaat kepada rakyat dan mencapai aspirasi digital negara.

"Kami telah bekerjasama dengan 39 rakan kongsi teknologi bagi memperkukuh penyelesaian inovatif dan infrastruktur rangkaian teras yang akan memberi manfaat kepada rakyat dan mencapai aspirasi digital negara," katanya.

Sementara itu Annuar berkata, beliau menyokong usaha mana-mana pihak meningkatkan sistem keselamatan siber bagi memberi keyakinan pengguna yang berdepan ancaman siber disebabkan kepesatan teknologi dalam negara.

"Pemantauan ancaman siber dan langkah kawalan adalah satu keperluan yang bukan sahaja kepada Celcom tetapi agensi-agensi lain khususnya berkaitan dengan keselamatan siber.

"Hampir setiap hari kita mendengar ada yang menjadi mangsa penipuan siber, jadi saya mahu langkah kehadapan untuk pastikan kerajaan melakukan tindakan tepat dalam aspek jaminan keselamatan siber," katanya.

Untuk itu Annuar berkata, beliau telah menjemput semua ahli lembaga pengarah semua agensi yang berkaitan dengan keselamatan siber untuk mengadakan perbincangan pada minggu depan.

"Saya nak tengok sama ada sistem sedia ada masih sesuai dengan situasi sekarang dan memikirkan cara perkukuh lagi sistem keselamatan sedia ada.

"Saya berharap ekosistem teknologi dapat bergerak ke hadapan dengan lebih baik serta ditawarkan dengan kos yang berpatutan supaya tidak membebankan pengguna," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!