Pemuda PN syor rundingan dengan PH atau BN, elak tiga penjuru
SERDANG - Pemuda Perikatan Nasional (PN) mengesyorkan supaya pimpinan gabungan parti itu mempertimbang untuk mengadakan rundingan dengan Pakatan Harapan (PH) atau BN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi mengelak berlakunya pertembungan tiga penjuru.
Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ramuan paling baik untuk memastikan hasrat PN untuk kembali mentadbir Putrajaya adalah dengan cara satu lawan satu dalam pilihan raya akan datang.
Justeru, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda Pas berkata, pimpinan PN perlu meneliti sebaiknya antara kedua-dua gabungan parti itu mana yang lebih sesuai untuk dijadikan ‘kawan’.
“Pimpinan (PN) sudah tentu melihat bahawa di antara PH yang memerintah dengan begitu bahaya polisinya dan BN yang sudah ada liabilitinya (dapat menilai) mana satu boleh kita perbaiki untuk kita jadikan sebagai kawan supaya kita dapat mara ke Putrajaya.
“Kalau seandainya nama BN atau UMNO (yang dipilih), (kini) ada sedikit perubahan dalam kalangan mereka, (jadi) saya fikir rundingan perlu dibuat untuk memastikan tragedi 2018 tidak berulang.
“Walaupun mood konvensyen hari ini kita ingin melawan UMNO tetapi rasionalnya kalau kita bertempur tiga penjuru, adakah kita boleh menang? Ini kajian yang perlu kita lakukan dengan begitu terperinci,” katanya ketika sesi penggulungan Konvensyen PN 2022 dan Sambutan Ulang Tahun PN Kedua di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini pada Sabtu.
Ujar Ahmad Fadhli lagi, secara asasnya PN memiliki rekod yang paling untuk menerajui kerajaan, namun hal itu tidak dapat dilakukan sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru.
“Rakyat ketika ini sudah membuka mata dengan pelbagai isu yang didedahkan membabitkan pemimpin-pemimpin parti lain dan kini pastinya PN dilihat sebagai pilihan utama (oleh rakyat) untuk mara ke Putrajaya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!