'Jangan ambil tindakan sendiri jika terserempak gajah'
IPOH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya terserempak dengan gajah liar terutama yang menceroboh masuk kawasan penempatan dan kebun.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, tindakan seumpama itu dikhuatiri akan memberi risiko dan mengundang kejadian tidak diingini terutama serangan gajah yang boleh membawa maut.
Menurutnya, setiap tahun, Perhilitan menerima sekurang-kurangnya 100 aduan membabitkan pencerobohan gajah liar di Perak dan isu sama turut berlaku di negeri lain.
"Cuma pesan saya, mana-mana pihak yang jumpa haiwan ini, jangan sesekali mengambil tindakan sendiri sebaliknya hubungi segera Perhilitan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
"Apabila kita terima aduan, kita akan pergi secepat mungkin ke lokasi untuk ambil tindakan di mana Unit Tindakan Gajah Negeri (UTG) akan halau atau pun membuat tangkapan," katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Berendoi Baby Hippo di Taman Tema Sunway Lost World Of Tambun (SLWOT) di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, sejak Januari, sebanyak 47 aduan berkaitan isu gajah liar menceroboh masuk kebun dan kawasan penempatan penduduk telah dilaporkan di negeri ini.
Katanya, jumlah aduan itu termasuklah melibatkan dua kes kecederaan akibat diserang haiwan berkenaan.
"Tindakan segera telah diambil termasuk membuat tangkapan dan menghalau haiwan itu masuk semula ke habitat asal," katanya.
Media pada 1 Ogos lalu melaporkan, seorang wanita Orang Asli cedera parah diserang gajah liar di kebun dekat belakang rumahnya di Kampung Katong, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar, Gerik.
Kejadian sekitar jam 6.30 petang itu menyebabkan mangsa berusia 30 tahun patah tangan dan kaki kanan serta lebam di bahagian perut.
Sementara itu, Taman Tema SLWOT memperkenalkan kepada umum kelahiran seekor anak badak air jantan yang dinamakan Jaguh pada 18 Jun lalu.
Jaguh yang kini berusia dua bulan merupakan anak kepada pasangan Jiwang dan Juwita iaitu spesies badak air Afrika yang diraikan pada majlis kenduri kahwin di Hippo Kingdom SLWOT, April tahun lalu.
Pengarah Eksekutif Sunway Theme Parks, Calvin Ho berkata, kemunculan Jaguh seberat 50 kilogram buat pertama kali itu diraikan dengan majlis berendoi yang berkonsepkan tradisional Melayu di mana terdapat replika buaian yang diletak sebagai simbolik adat.
"Kami di SLWOT amat teruja untuk menyambut dan mengadakan majlis berendoi buat anak pertama pasangan badak air dengan kesinambungan tradisi Melayu.
"Jaguh kini dalam keadaan selamat dan sihat selain dilihat aktif berinteraksi dengan renjer kami," katanya.
end
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!