800 helai Jalur Gemilang hiasai rumah bekas juruteknik
IPOH - Seperti kebiasaan Jaafar Othman sejak 15 tahun lepas, tahun ini bekas juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu sekali lagi mengambil inisiatif menghias rumahnya dengan hiasan berunsur patriotik dan cintakan negara sempena Hari Kebangsaan, menggunakan modal sendiri.
Kali ini Jaafar, 61, yang tinggal di Taman Kerian, Parit Buntar menggunakan 800 helai Jalur Gemilang dan bahan-bahan terpakai seperti tayar, span, kotak dan rim kenderaan bagi menghias rumahnya itu.
"Saya akan cuba hias setiap sudut yang ada dengan Jalur Gemilang dan hiasan seumpamanya. Ia telah sebati dan menjadi rutin pada setiap bulan Ogos,” kata ayah kepada tiga orang anak itu.
Menurut Jaafar sejak 15 tahun lepas, beliau tidak pernah terlepas daripada aktiviti menghias rumahnya dengan hiasan yang membawa mesej patriotik setiap kali sambutan Bulan Kebangsaan termasuklah ketika dunia dilanda wabak Covid-19.
"Dua tahun lepas, saya tetap hias rumah dengan Jalur Gemilang kerana saya merasakan semangat menyambut kemerdekaan perlu diteruskan. (Masa itu) Orang ramai tetap singgah ke rumah untuk bergambar di kawasan rumah namun masih mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Pengunjung dari negeri berjiran seperti Pulau Pinang dan Kedah sering datang ke rumah untuk melihat sendiri hasil hiasan Jalur Gemilang yang dihiasi sejak awal bulan ini. Saya amat gembira melihat keterujaan pengunjung yang hadir,” tambahnya.
Ditanya mengenai kelunturan semangat patriotisme di kalangan generasi muda, beliau berkata golongan itu perlu terus diberi pendedahan termasuk menggalakan mereka membaca lebih banyak bahan bacaan berkaitan sejarah negara.
"Selama saya melakukan rumah berhias ini, banyak anak muda yang datang singgah...Ada yang berminat dengan konsep rumah berhias ini.
"Selaku orang yang sudah berpengalaman, saya berkongsi serba sedikit mengenai idea yang perlu diketengahkan dan sering memberi kata-kata semangat agar mereka dapat menjadi pengganti orang-orang lama seperti saya,” tambahnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!