PRU15: Andai tewas, UMNO jadi tempat perkuburan
KUALA LUMPUR - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim menegaskan UMNO mungkin akan menjadi tempat perkuburan dan bukan lagi sebagai wadah perjuangan bangsa dan negara sekiranya parti itu tewas sekali lagi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Justeru, beliau mengingatkan supaya pemimpin dan ahli UMNO agar bekerja lebih kuat untuk memastikan kemenangan pada PRU15 menjadi milik BN.
“Saya nak ahli UMNO faham. UMNO mesti pastikan menang PRU ini supaya kepincangan ini boleh diubah dan diatasi.
“Kalau UMNO tewas sekali lagi, UMNO akan menjadi tempat perkuburan, bukan lagi wadah perjuangan bangsa dan negara," katanya.
Ucapan beliau selama kira-kira 15 minit ditayangkan sempena majlis Taklimat Khas Presiden UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.
Beliau berkata, apa yang berlaku selepas UMNO dan BN kalah pada PRU-14 dan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dipenjarakan harus dijadikan pengajaran kepada pemimpin dan ahli parti itu untuk lebih kuat semangat bagi meneruskan perjuangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!