[VIDEO] UMNO tak boleh sewenang-wenang pecat sesiapa: Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] UMNO tidak boleh sewenang-wenangnya memecat sesiapa kerana parti itu mempunyai sistem dan proses tertentu.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, setiap anggota parti harus berpegang kepada keputusan parti.
Justeru, beliau mengingatkan jangan ada sebarang komen yang cuba menunjukkan seolah-olah keputusan parti itu dibuat oleh individu.
"UMNO tidak seperti sesebuah parti yang mana keputusan itu dibuat oleh satu atau dua individu," katanya kepada pemberita selepas sesi Taklimat Khas Presiden UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.
Pada Sabtu, Sesi Taklimat khas dianjurkan sebagai tanda solidariti kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini dipenjarakan di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi hukuman 12 tahun dalam kes SRC International Bhd.
Sebelum ini, beberapa pemimpin UMNO menuduh Ismail Sabri sebagai tidak bersungguh-sungguh dalam kes Najib.
Ulas Asyraf Wajdi, keputusan parti itu dibuat secara kolektif Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU).
Dalam pada itu, menurutnya, UMNO mesti berpegang kepada prinsip solidariti sebagai asas bagi mengekalkan kestabilan serta mengelakkan perpecahan dalam parti.
Ujar beliau, prinsip solidariti yang dilaungkan dalam sesi Taklimat Khas itu amat penting bagi UMNO dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan datang.
"Asasnya UMNO mesti berpegang pada prinsip solidariti. Kita tidak boleh berpecah belah dan yang paling penting sekali, apabila kita hendak menawarkan kestabilan demi kemakmuran rakyat, dalaman UMNO sendiri pun perlu stabil.
"Saya percaya apa yang dizahirkan pada hari ini kita dapat lihat bahawa akar umbi hingga ke pimpinan sebenar, semuanya bersatu hati dan tidak ada isu picisan-picisan yang boleh memecahbelahkan parti itu sendiri," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!