Impian tercapai, peluang lunas dendam kekalahan: Mat Yo
NILAI – Impian penyerang sensasi negara, Norshahrul Idlan Talaha untuk bertemu pasukan Vietnam semula akhirnya menjadi kenyataan apabila turun pada aksi final pertama Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.
Tewas 2-0 pada aksi saingan Kumpulan A di Hanoi, Norshahrul optimis ini adalah peluang terbaik buat pasukan negara membalas dendam sekali gus menjulang trofi kejuaraan selepas kali terakhir Malaysia memenanginya pada 2010.
“Banyak yang kami pelajari daripada kekalahan di Hanoi tempoh hari dan kami tahu kami perlu terutamanya memperkemas dari segi permainan kerana ini adalah perlawanan final.
“Sudah tentu kita perlu mendapatkan gol pada aksi pertama di laman sendiri supaya dapat membawa bekalan selesa di tempat lawan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Padang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), semalam.
Pemain pasukan Pahang itu yang meledak lima gol setakat ini mengakui untuk melepasi benteng pertahanan Vietnam merupakan satu tugas yang mencabar, namun mengakui ia bukan sesuatu perkara yang mustahil.
Pemain berusia 32 tahun itu yang gagal mempamerkan taring ketika tewas kepada Vietnam tempoh hari, mengakui mempelajari kesilapan yang dilakukan dalam perlawanan itu dan akan berusaha keras untuk memburu gol Selasa ini.
“Saya ada mengkaji perlawanan menentang mereka (Vietnam) sebelum ini dan saya akui saya ada melakukan beberapa kesilapan juga pada aksi terbabit.
“Namun selepas melihat analisa permainan, sedikit sebanyak saya mendapat input untuk mengatasi kawalan pertahanan Vietnam dan saya mengharapkan sentuhan saya menjadi di aksi final nanti,” tambahnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!