Hatrik pemusnah Haaland benam Palace

Haaland meledak hatrik ketika membantu City membenam Palace 4-2 pada aksi EPL. - Foto Agensi
Haaland meledak hatrik ketika membantu City membenam Palace 4-2 pada aksi EPL. - Foto Agensi
A
A
A

PEMBELIAN Erling Haaland berbaloi apabila meledak hatrik ketika membantu Manchester City bangkit daripada ketinggalan dua gol, sekali gus menewaskan Crystal Palace 4-2.

Palace pada awalnya dilihat berpeluang meraih tiga mata pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu selepas mendahului dua jaringan pada babak pertama.

The Eagles di depan hasil jaringan sendiri John Stones dan tandukan padu Joachim Andersen.

Bagaimanapun, percubaan tepat pertama City menghasilkan gol selepas tendangan Bernardo Silva terbias pemain tengah Palace, Jeffrey Schlupp dan menewaskan penjaga gol, Vicente Guaita.

Selepas itu, permainan berada dalam kawalan Haaland yang berhijrah dari Borussia Dortmund menyertai City pada musim baharu ini.

Penyerang dari Norway itu menyudahkan hantaran lintang Phil Foden untuk mengikat kedudukan sebelum meledak gol ketiga hasil hantaran Stones.

Ketika Palace cuba memburu gol penyamaan, Haaland, pemain muda berumur 21 tahun itu menjaringkan gol keempat selepas menyambut hantaran Ilkay Gundogan.

City kini mengumpul 10 mata untuk berada di kedudukan kedua liga hasil empat perlawanan dibezakan dua mata dengan pendahulu Arsenal.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!