PRU15: Warisan mulakan jelajah bulan depan

Mohd Shafie ketika hadir pada Perhimpunan Agung Tahunan dan Pemilihan Parti Warisan 2021 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, Penampang.
Mohd Shafie ketika hadir pada Perhimpunan Agung Tahunan dan Pemilihan Parti Warisan 2021 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, Penampang.
A
A
A
PENAMPANG - Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan melakukan jelajah ke seluruh kawasan Parlimen di negeri ini termasuk Labuan bermula bulan hadapan.

Beliau berkata, untuk memastikan kesiapsiagaan Warisan berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlunya lawatan seperti yang dilakukan pada PRU14.

"Jangan tunggu pilihan raya diadakan bulan Oktober atau November, jangan tunggu pilihan raya diadakan tahun depan. Kembali ke kawasan masing-masing pastikan kesiapsiagaan kita berhadapan dengan pilihan raya.

"Saya akan menjelajah, saya akan mulakan lawatan saya dari Kalabakan ke Tawau, ke Lahad Datu sampai ke Labuan macam PRU14 mulai bulan depan. Selepas itu, saya akan ulangi dari Kalabakan sampai ke Labuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Presiden pada Perhimpunan Agung Tahunan dan Pemilihan Parti Warisan 2021 di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di sini pada Sabtu.

Katanya lagi, siri jelajah itu sudah pun dimaklumkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi yang diadakan sebelum ini bagi mendapatkan respons daripada akar umbi parti.

"Saya akan buat lawatan secara mengejut, tidak maklumkan pimpinan bahagian-bahagian, saya mahu tahu cerita orang kampung kepada saya," katanya.

Sebelum itu, dalam ucapan beliau sekali lagi menegaskan mahu supaya Rang Undang-Undang (RUU) Akta Anti Lompat diwujudkan semula di Sabah seperti yang diluluskan di dalam Parlimen baru-baru ini.

"Kalau benar mereka mahu mengamalkan politik yang bersih, politik yang tidak ingin 'lompat' sana, 'lompat' sini, sudah ada pun RUU yang diluluskan.

Artikel Berkaitan:

"Sabah sudah ada undang-undang musim Parti Bersatu Sabah (PBS), tahun 1985 sudah digubal RUU Anti Lompat tapi RUU itu dibatalkan pada tahun 1995," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!