Ahmad Zaki Sdn Bhd terima pengiktirafan CIDB Score 5 Bintang
Program Score (Penilaian Keupayaan dan Kemampuan Kontraktor) itu dibangunkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB Malaysia) dengan kerjasama SME Corporation Malaysia (SME Corp), untuk membolehkan kontraktor tempatan dinilai menggunakan sistem penilaian terperinci dan komprehensif.
Pengiktirafan itu dianugerahkan kepada AZSB berdasarkan parameter seperti kekuatan pengurusan, kepakaran teknikal, prestasi perniagaan dan amalan terbaik.Timbalan Pengarah Urusan AZSB, Datuk Azman Marzuki berkata yang pihaknya berbesar hati atas pengiktirafan dianugerahkan itu dan bertekad untuk terus mengekalkan dan mempertingkatkan keupayaan dalam menghasilkan piawaian tertinggi dalam semua pelaksanaan projek.
Program CIDB SCORE menilai syarikat-syarikat yang terlibat dalam industri pembinaan Malaysia dengan penarafan Bintang 0-5.
Penilaian 0 adalah tahap asas dan penarafan bintang 5 yang adalah tertinggi.
Ia adalah sebahagian usaha berterusan CIDB Malaysia meningkatkan profil industri pembinaan tempatan dan menyediakan asas bagi pembangunan kontraktor Malaysia dengan mengenal pasti ruang penambahbaikan.
AZSB, anak syarikat AZRB, kini terlibat dalam pelbagai projek mega termasuk Klang Valley Mass Rapid Transit (KVMRT) laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!