12 maut, 87 cedera pertempuran di Tripoli

Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh manakala 87 lagi cedera semasa pertempuran berterusan di ibu negara Libya, Tripoli. - Foto AFP
Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh manakala 87 lagi cedera semasa pertempuran berterusan di ibu negara Libya, Tripoli. - Foto AFP
A
A
A

TRIPOLI - Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh manakala 87 lagi cedera semasa pertempuran berterusan di ibu negara Libya, Tripoli, menurut Kementerian Kesihatan negara itu pada Sabtu, lapor Xinhua.

Beberapa hospital dan pusat perubatan di bandar itu turut rosak akibat kejadian itu, dan pasukan perubatan tidak dapat mengakses kawasan tertentu di Tripoli bagi membantu orang awam yang membuat panggilan kecemasan.

Pertempuran ganas meletus lewat Jumaat di pelbagai lokasi di Tripoli antara kumpulan bersenjata yang berpihak kepada dua kerajaan yang bersaing untuk memerintah negara itu.

Kerajaan Perpaduan Nasional yang berpangkalan di Tripoli pada Sabtu mengecam pertempuran itu dan menuduh bakal perdana menteri Fathi Bashagha sebagai 'pengkhianat dan penderhaka'.

Pada hari yang sama, Misi Sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Libya menyuarakan kebimbangan terhadap pertempuran yang berterusan, "termasuk kejadian tembakan sederhana dan berat secara sembarangan di kawasan kejiranan awam di Tripoli".

Misi PBB menyeru permusuhan dihentikan segera dan mengingatkan semua pihak untuk memenuhi "kewajipan mereka di bawah hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan demi melindungi orang awam dan harta benda awam".

Pada Februari, Dewan Perwakilan Libya, atau parlimen, melantik kerajaan baharu yang diketuai Bashagha.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Abdul-Hamed Dbeibah yang berpangkalan di Tripoli enggan meletak jawatan, dan berkata kerajaannya akan terus bekerja dan hanya menyerahkan jawatan kepada kerajaan yang dipilih rakyat.

Artikel Berkaitan:

Libya mengalami ketidakstabilan politik dan huru-hara sejak kejatuhan Muammar Gaddafi pada 2011. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!