Pasar Tani Sungai Petani catat jualan tertinggi RM3.5 juta
SUNGAI PETANI - Pasar Tani Sungai Petani anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mencatatkan nilai jualan tertinggi sebanyak RM3.5 juta berbanding 15 lokasi seluruh Kedah sehingga Julai lalu.
Pengarah FAMA Kedah, Isa Hamzah berkata, Pasar Tani Sungai Petani yang ditubuhkan pada tahun 1985 beroperasi setiap Ahad, mempunyai 76 usahawan dan antara pasar tani terbaik di Kedah.
Menurutnya, mengikut rekod, pasar tani di Kedah mencatatkan nilai jualan sebanyak RM11.5 juta bagi tempoh Januari hingga Julai 2022 di kesemua 16 lokasi membabitkan 857 usahawan.
"Pasar Tani Sungai Petani adalah yang terbaik daripada 16 pasar tani di Kedah di mana nilai jualan yang dicapai sehingga Julai adalah tertinggi iaitu sebanyak RM3.5 juta," katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir ke Program Jualan Merdeka sempena Sambutan Kemerdekaan ke-65 di Pasar Tani Sungai Petani pada Ahad.
Hadir sama, Penaung Persatuan Kebajikan Peserta Pasar Tani Daerah Kuala Muda, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff.
Menurut Isa, Jualan Merdeka sempena sambutan Hari Kemerdekaan berkonsepkan pasar pilihan rakyat menawarkan pengurangan harga produk pertanian dan bukan pertanian antara lima hingga 20 peratus berbanding harga pasaran.
"Ia adalah salah satu cara menyahut seruan kerajaan dalam membantu rakyat menangani kesan kenaikan kos sara hidup," katanya.
Sempena Jualan Merdeka, pengunjung turut diberi peluang membeli keperluan barangan segar pada harga istimewa menerusi Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia 'happy hour' melibatkan komoditi terpilih seperti ikan kembung, ayam proses, telur ayam, kombo sayur-sayuran dan buah yang menawarkan penjimatan antara RM1 hingga RM2 selain set bawang besar, bawang merah, bawang putih, kentang dan minyak masak paket satu kilogram dijual pada harga kombo RM10.
Sementara itu, Shahanim yang menjadi penaung sejak 17 tahun lalu mengharapkan agar Pasar Tani Sungai Petani yang terletak berdekatan Stesen Teksi Sungai Petani dikekalkan dan dinaik taraf bagi meningkatkan tahap kebersihan dan keselesaan orang ramai.
"Kekalkan lokasi... kalau ikutkan sudah lebih 30 tahun pasar tani ini di sini.
"Kita nak satu khemah kekal yang besar dilengkapi sistem kumbahan dan perparitan yang sistematik bagi memastikan sistem saliran khususnya peniaga barangan basah seperti ikan dapat mengalirkan air bertakung dengan baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!