Autumn, Summer dipilih bawa pasangan diraja
KUALA LUMPUR - Hentakan ladam kuda daripada baka cold blood yang gagah, cantik dan tenang bakal menyerikan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka di sini, pada 31 Ogos nanti.
Pasangan kuda jantan ‘Autumn’ dan kuda betina ‘Summer’, dipilih daripada 23 kuda dari Skuadron Istiadat Berkuda (SIB) Kor Armor Diraja, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membawa Kereta Kuda Diraja sempena memperingati dan meraikan hari bersejarah negara.
Apa yang menarik, Kereta Kuda Diraja kali terakhir digunakan pada 17 tahun lepas semasa mengiringi Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 2005.
Pegawai Memerintah Skuadron Istiadat Berkuda (SIB), Lt Kol Norman Mohd Sarip berkata, pasukannya yang terdiri daripada 26 kuda, 26 penunggang (termasuk tiga simpanan) serta 13 syces (pembantu) menjalani latihan rapi dalam memastikan proses perjalanan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri dengan menaiki Kereta Kuda Diraja berjalan lancar semasa sambutan Hari Kebangsaan 2022, Rabu ini.
"Kami ditugaskan untuk membawa Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri bermula dari Bank Negara sehingga ke pentas utama yang jaraknya kira-kira 650 meter dengan menggunakan Kereta Penarik Diraja,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata, bagi memastikan sambutan itu berjalan lancar, beberapa perkara harus dilakukan termasuk penyelenggaran kereta penarik itu dengan sebaiknya selain memastikan kuda serta penunggang berada dalam keadaan tenang dengan mengadakan latihan selama sebulan.
"Dalam tempoh itu, kita mengadakan latihan secara berkumpulan dan individu bersama kuda supaya kedua-duanya mengenali dan mudah komunikasi antara satu sama lain,” katanya.
Norman berkata, kuda adalah haiwan yang agak sensitif, sentiasa rasa terancam dan bagi mengatasi masalah itu, pelbagai persediaan dibuat termasuk mengibarkan bendera di hadapan kuda tersebut serta membiasakan ia dengan keadaan bising.
Selain itu, beliau berkata, pemilihan anggota juga perlu dititikberatkan dalam mendapatkan keserasian antara penunggang dan kuda dan antara kriteria yang diteliti terhadap anggota SIB adalah ketinggian, keterampilan, tahap keyakinan serta minat dalam mengendalikan haiwan berkenaan.
Sementara itu, Pegawai Waren 1 Norazmi Abdullah yang akan mengendalikan dan melatih pasangan Autumn dan Summer itu berkata ini adalah pengalaman pertama beliau menjadi pemandu kereta kuda Diraja yang akan membawa Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah, sepanjang 21 tahun berkhidmat dalam ATM.
Menurutnya, perasaan teruja itu tidak dapat disembunyikan apabila beliau sering meluangkan masa melatih dan membiasakan diri bersama dua ekor kuda yang akan terbabit dalam sambutan itu.
"Sudah tentu saya berasa bangga apabila diberi peluang seperti ini dan akan menjadi pengalaman tidak akan dilupakan,” katanya.
Hari Kebangsaan 2022 yang bertema 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ bakal disambut Rabu ini seawal 7 pagi di Dataran Merdeka secara besar-besaran dengan sasaran pengunjung seramai 50,000. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!