Perak mohon polisi baru selesai isu rumah generasi kedua
IPOH - Kerajaan Perak memohon satu polisi baharu diwujudkan bagi membantu menyelesaikan isu perumahan generasi kedua Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sejak dahulu lagi timbul masalah membina rumah generasi kedua kerana terikat dengan peruntukan Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1967.
Menurutnya, peruntukan dalam GSA menetapkan hanya sebuah rumah boleh dibina dalam satu plot tapak meskipun kawasan itu sebenarnya mencukupi untuk dibina satu ke dua rumah lain.
"Kalau di kampung tradisional, di keliling rumah ibu bapa ada rumah anak-anak boleh dibina tetapi keadaan ini berbeza di penempatan Felda, tidak boleh dibuat begitu kerana terikat dengan GSA.
"Untuk membolehkan pembinaan rumah generasi kedua, kena ada satu polisi yang memerlukan kerjasama dan persefahaman antara kerajaan negeri, Felda dan Ketua Pengarah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Program Mesra Bersama Peneroka Felda di Laman Seri Ridzuan di sini pada Ahad.
Hadir sama, Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff.
Saarani berkata, kerajaan negeri akan memanggil semula JKPTG untuk duduk berbincang mengenai pindaan dan semakan GSA terbabit.
Katanya, di Perak ketika ini terdapat 17 tanah rancangan Felda dan terdapat permintaan agar rumah generasi kedua dapat dibina di tapak sama.
"Kita punya masalah kerana semua kawasan Felda ini adalah di bawah GSA dan gerannya dipanggil geran berangkai antara tapak rumah dengan kebun.
"Saya bincang dengan Felda untuk panggil semula JKPTG, semak GSA sama ada boleh dibatalkan dan selepas itu geran antara tapak rumah dan kebun itu boleh dirungkaikan untuk membenarkan rumah kedua dibina di tapak sama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!