Kerajaan digesa tarik semula penangguhan Akta Kerja 1995

Chin Chen
Chin Chen
A
A
A

BENTONG - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut, Lee Chin Chen mempersoalkan tindakan kerajaan akan menangguhkan penguatkuasaan Akta Kerja 1995 yang telah dipinda dan diluluskan pada Mac tahun ini.

Pada Jumaat, Menteri Sumber dan Manusia, Datuk Seri M Saravanan telah mengumumkan bahawa akta tersebut akan ditangguhkan penguatkuasaannya daripada 1 September 2022 ke 1 Januari 2023.

Menurutnya, penangguhan ini telah mendapat banyak bantahan terutamanya daripada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

"Persoalannya mengapa ia ditangguhkan dalam jangka masa beberapa hari sahaja sebelum perlaksanaannya dan apakah relevan kepada penangguhan ini?

"Dengan penangguhan ini, kerajaan BN sebenarnya membuktikan bahawa mereka tidak peduli dan tidak serius tentang kebajikan pekerja dan sumber buruh di negara ini.

"Antara pindaan yang telah diluluskan ialah tuntutan bayaran kerja lebih masa untuk mereka di tingkat gaji RM2,001 - RM4,000, cuti paterniti sebanyak 7 hari, cuti bersalin yang ditambah jumlahnya dari 60 hari ke 98 hari, pengurangan jam maksimum bekerja dari 48 jam ke 45 jam dan banyak lagi manfaat baik untuk pekerja," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ujar beliau, Saravanan juga memaklumkan bahawa pekerja kebersihan dan pengawal keselamatan masih lagi tidak boleh menerima peningkatan gaji mengikut had gaji minima sebanyak RM1,500 yang telah ditetapkan oleh kerajaan pada Mei lalu jika mereka masih terikat dengan kontrak lama yang ditandatangani sebelum Mei 2022.

"Ini bermakna jika seseorang pekerja itu menandatangan kontrak bekerja pada bulan Mac 2022, beliau hanya boleh menerima gaji sebanyak RM1,500 setelah beliau memperbaharui kontrak bekerja mereka pada Mac 2023.

Artikel Berkaitan:

"Ini adalah penindasan terang-terangan ke atas golongan pekerja kebersihan dan pengawal keselamatan. Had gaji minima ini telah pun diwartakan tetapi mengapa perlaksanaannya pula bersyarat?," soal beliau lagi.

Sebaliknya, Chin Chen menyifatkan tindakan tersebut dilihat menindas golongan pekerja di negara ini

"Mengapa kerajaan begitu bersungguh-sungguh untuk menjaga hati para majikan sehingga mengetepikan hak-hak pekerja yang telah termaktub di dalam undang-undang.

"Tidak ada rasa simpati kah kerajaan kepada rakyat yang bekerja siang dan malam demi menyara keluarga dan meneruskan kehidupan. Saya sedia maklum keadaan ekonomi kini masih lagi dalam fasa pemulihan.

"Namun itu tidak bermakna hak-hak golongan pekerja ini boleh diketepikan. Mereka juga perlu membina semula hidup mereka pasca pandemik," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menuntut kerajaan menarik semula penangguhan pindaan Akta Kerja 1955 dan segera melaksanakan had gaji minima kepada pekerja kebersihan dan pengawal keselamatan.

Tegas beliau, kerajaan juga perlu berhenti menindas rakyat yang sedang bergelut untuk memulakan kehidupan mereka semula.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!