FAMA Perak sasar RM1 juta jualan melalui program JTDLKM
LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak optimis sasaran RM1 juta dapat dicapai melalui pembukaan 100 lokasi Program Khas Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia (JTDLKM) menjelang penghujung Disember ini.
Pengarahnya Noorsham Ramly berkata, buat masa ini program tersebut telah dilaksanakan di 53 lokasi melibatkan 194 orang usahawan dengan jualan terkumpul sebanyak RM571,250.
"Kita yakin dengan sasaran yang telah ditetapkan memandangkan permintaan orang ramai melalui program ini terutama di kawasan luar bandar seperti Teluk Intan, Lenggong dan beberapa kawasan lain dilihat amat memberangsangkan.
"Ini kerana ia memberi ruang kepada pengguna untuk mendapatkan barangan keperluan harian seperti ikan, sayur-sayuran, buah-buahan dan produk industri makanan dengan diskaun sebanyak lima hingga 10 peratus berbanding harga di pasaran,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program JTDLKM di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, pada Ahad.
Dilapor pada 1 Julai lepas, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata sebanyak RM10.5 juta disasarkan melalui program JTDLKM selain bakal memberi manfaat kepada 420,000 pengguna di seluruh negara.
Noorsham berkata, program itu juga secara tidak langsung membuka ruang pasaran lebih besar kepada para usahawan dalam sektor pertanian, perikanan, perladangan dan sebagainya untuk meningkatkan penjanaan pendapatan.
Dalam perkembangan lain, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Perak Noraishah Hashim berkata, Perak adalah antara negeri pengeluar utama hasil ikan air tawar dan air payau di Malaysia dengan anggaran pengeluaran hampir 45,000 tan metrik setahun.
Beliau berkata, bagi meningkatkan jumlah pengeluaran tersebut sebanyak lima juta benih ikan akan dilepaskan di perairan umum sepanjang tahun ini oleh jabatan perikanan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!