Salur aduan, cadangan ke Majlis Tindakan OKU Perak

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad (baris dua, tengah) bergambar bersama peserta di Majlis Jalinan Mesra bersama Orang Kurang Upaya (OKU) di Arena Square Batu Gajah, pada Ahad. - Foto Bernama
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad (baris dua, tengah) bergambar bersama peserta di Majlis Jalinan Mesra bersama Orang Kurang Upaya (OKU) di Arena Square Batu Gajah, pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

BATU GAJAH - Orang Kurang Upaya (OKU) di Perak kini boleh menyalurkan cadangan, aduan dan rintihan mereka kepada Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya Negeri Perak (MTOP) yang ditubuhkan sebagai satu platform bagi menjaga kebajikan serta hak golongan berkenaan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, isu berkaitan dengan golongan ini dari segi kebajikan, permohonan dan potensi (bakat) mereka ini boleh disalurkan pada majlis itu yang akan melihat perkembangan ke arah kebaikan serta perkembangan golongan ini.

"Kalau tidak, mereka (OKU) hanya menyuarakan pendapat tanpa ada satu platform rasmi, dengan wujudnya MTOP ini, kerajaan tidak boleh pandang ringan dan apa yang diutuskan perlu dibawa oleh Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat ke Mesyuarat Exco.

Rayuan dari MTOP akan dibuat satu Kertas Exco dan jika ada permintaan yang memerlukan dasar oleh kerajaan negeri, maka sebuah dasar akan dibuat berkaitan kepada cadangan mereka,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis jalinan mesra bersama golongan OKU 2022 di Arena Square di sini, pada Ahad.

Menurut Saarani, kerajaan negeri telah melantik empat orang ahli MTOP yang terdiri daripada golongan OKU dan pakar berkaitan golongan ini serta mempunyai lapan jawatankuasa kerja (JKK) yang dipengerusikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

"Antaranya ialah jawatankuasa kerja reka bentuk sejagat dan alam bina, pengangkutan, pekerjaan, pendidikan, kesihatan, pendaftaran, bakat dan potensi, dan kerohanian dan modal insan,” katanya.

Jurucakap MTOP berkata, golongan OKU boleh menghubungi talian utama 055269829 atau mendapatkan borang permohonan di Pejabat Sekretariat Pembangunan Wanita (SPW) di Meru, Ipoh untuk maklumat lanjut.

Sementara itu, Ahli MTOP Muhammad Danial Azli, 30 berkata, beliau berharap agar golongan OKU tidak tersisih daripada kerajaan negeri dan terus dibantu melalui kewujudan badan itu.

Artikel Berkaitan:

"Pelbagai isu yang ingin kami perjuangkan antaranya baru-baru ini sebuah masjid di Daerah Kinta yang tidak membenarkan kerusi roda memasuki ke dalam masjid. Jadi kami akan berjumpa pihak pengurusan masjid tersebut untuk mencadangkan pemasangan sarung plastik pada kerusi roda seperti yang dilakukan di Masjid sekitar Putrajaya,” katanya.

Penubuhan MTOP telah diluluskan kerajaan negeri di bawah Pakej Ransangan Ekonomi ( PRE) Perak Sejahtera 2022 pada 18 Feb tahun ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!