Bukan saja roti, kek pun sudah naik harga

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

Tidak pasti keluarga lain, tapi bagi Merak Jalanan Roti Gardenia adalah antara makanan yang wajib ada atas meja makan.

Merak Jalanan suka makan roti putih yang dibakar, disapu mentega kacang atau kaya. Bagi anak-anak pula, roti krim menjadi pilihan kerana memudahkan mereka bersarapan setiap kali sebelum ke sekolah.

Pada waktu malam pula, jika tidak mahu terlalu kenyang dan sekadar alas perut, roti adalah menu terbaik berbanding makanan lain.

Dan apabila syarikat pembuat roti Gardenia mengumumkan kenaikan harga roti tersebut, naik lagi dalam tempoh tak sampai setahun, maka ia menarik perhatian Merak Jalanan.

Seperti dilaporkan media, harga roti Gardenia Original Classic naik 20 sen kepada RM3, manakala harga Gardenia Original Classic Jumbo naik 30 sen menjadi RM4.30.

Roti bijirin gandum penuh Gardenia pula akan dijual pada harga RM4 sementara roti Bran & WheatGerm berharga RM3.50. Roti krim QuickBites naik 10 sen menjadi RM1.10 dan roti sambal bilis meningkat 20 sen menjadi RM1.50.

Merak Jalanan yang merupakan pelanggan tetap tiada pilihan terpaksa akur dengan kenaikan itu.

Ini kerana Merak Jalanan sekeluarga sudah sebati dengan rasa dan tekstur roti berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Bukan tidak cuba untuk mengubah selera, tetapi jenama lain tidak menepati tekak Merak Jalanan sekeluarga.

Selain terpaksa berhadapan dengan kenaikan roti pada September ini, Merak Jalanan sebenarnya sudah terasa dengan kenaikan harga kek span pandan kegemaran sejak dua bulan lalu.

Kek pilihan keluarga Merak Jalanan itu naik 60 sen tanpa sebarang notis dan yang paling liciknya pihak pengeluar mengecilkan saiz produk tersebut.

Jadi seperti isu roti tadi, sebagai pengguna yang setia tiada daya melainkan terpaksa beli juga kerana apa lagi pilihan yang ada.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!