Kerajaan laksana pembaharuan sistem pembekalan elektrik negara

Kerajaan akan melaksanakan program dan pembaharuan sistem pembekalan elektrik negara. Foto hiasan
Kerajaan akan melaksanakan program dan pembaharuan sistem pembekalan elektrik negara. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan melaksanakan program dan pembaharuan sistem pembekalan elektrik negara sebagai langkah awal merancakkan lagi komitmen negara dalam peralihan tenaga, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kerajaan meluluskan peruntukan dan pengagihan semula kuota tenaga boleh baharu (TBB) sebanyak 1,200 megawat (MW) bagi sumber solar.

Katanya, kuota baharu ini akan diagihkan untuk pelaksanaan program di bawah mekanisme sedia ada termasuk New Enhanced Dispatch (NEDA) dan program pemasangan solar di bumbung bangunan.

Selain itu, katanya, untuk penerokaan kaedah pelaksanaan program TBB baharu seperti pembangunan taman solar, pembekalan elektrik untuk tujuan pusat-pusat data baharu serta penjanaan hidrogen hijau.

Beliau berkata, demikian semasa berucap merasmikan Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) Kelima 2022 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, ia juga untuk penyediaan opsyen baharu perolehan bekalan elektrik hijau kepada syarikat korporat melalui konsep Perjanjian Pembelian Tenaga Maya (VPPA), mulai suku keempat 2022, dengan tawaran kuota 600MW.

"Dengan persetujuan ini, kerajaan menjangkakan 14,000 peluang pekerjaan dan nilai pelaburan baharu berjumlah RM6 bilion dapat diwujudkan bagi menyokong pembangunan industri TBB negara,” kata Ismail Sabri.

Katanya kerajaan akan turut melaksanakan inisiatif perintis pembangunan Pulau Tenaga Hijau di Pulau Redang dan Pulau Perhentian, Terengganu serta Pulau Tioman, Pahang bagi menyediakan bekalan elektrik yang konsisten, mampu bayar dan rendah pelepasan karbon.

Artikel Berkaitan:

"Pengguna elektrik di kedua-dua buah pulau peranginan itu akan menerima bekalan elektrik selama 24 jam menjelang 2025, sekali gus mengurangkan kira-kira 70 peratus pelepasan gas rumah kaca,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata, kerajaan turut menetapkan kerangka perundangan kawal selia keselamatan pembangunan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) supaya aspek keselamatan awam dan pengguna terpelihara dan terjamin.

Sehubungan itu, katanya, Garis Panduan Pembangunan Infrastruktur EV di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) akan dikuatkuasakan pada suku keempat 2022 untuk memastikan pembangunan infrastrukturnya dilaksanakan dengan selamat dan teratur mengikut piawaian yang ditetapkan.

"Saya juga ingin memaklumkan bahawa Tenaga Nasional Bhd (TNB) dengan kerjasama Syarikat MySuri Biz Technologies Sdn Bhd akan menyediakan 1,000 unit EV teksi, sebagai menyokong usaha penyahkarbon negara.

"Keterlibatan pihak GLC seperti TNB perlu dipergiatkan bagi menyokong pembangunan industri EV negara,” kata Ismail Sabri. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!