Petisyen untuk Najib kumpul lebih 12,000 tandatangan

Petisyen dalam talian dilancarkan BNComms Selangor untuk Najib di platform change.org,
Petisyen dalam talian dilancarkan BNComms Selangor untuk Najib di platform change.org,
A
A
A

SHAH ALAM - Petisyen dalam talian dilancarkan BNComms Selangor untuk Datuk Seri Najib Tun Razak di platform change.org, kini mengumpulkan lebih 12,000 tandatangan pada Isnin.

Petisyen ini dilancarkan bagi menuntut pengampunan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap Najib susulan wujud petisyen supaya bekas Perdana Menteri itu tidak wajar diampunkan yang digerakkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Petisyen berkenaan juga mendakwa bahawa di bawah kepimpinan Najib, ekonomi Malaysia berada di puncak dengan pelbagai inisiatif ekonomi, penambahbaikan sosial, dana untuk pelajar dan kemasukan pelaburan asing tertinggi.

Malah menurut petisyen, kepimpinan Najib juga disenangi kuasa ekonomi utama dunia Amerika Syarikat dan China.

“Beliau juga sentiasa berbaik-baik dengan negara tetangga, menjaga hati pemimpin Arab tetapi dalam masa sama masih menghormati negara dalam pertikaian, Taiwan.

“Polisi ekonomi Najib yang memindahkan pemilikan khazanah rakyat dari taikun-taikun tertentu kepada syarikat milikan negara menyebabkan ada pihak sakit hati, sekali gus memulakan plot politik jahat,” kata petisyen itu.

Selasa lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!