Jalan TAR bebas kenderaan dapat maklum balas positif

Mahadi (dua dari kanan) meninjau keadaan peniaga pada program Jalan TAR Bebas Kenderaan pada Ahad. - Foto: Fb DBKL
Mahadi (dua dari kanan) meninjau keadaan peniaga pada program Jalan TAR Bebas Kenderaan pada Ahad. - Foto: Fb DBKL
A
A
A

KUALA LUMPUR - Program Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) Bebas Kenderaan yang diadakan setiap Ahad mendapat restu semua pihak termasuk para peniaga di kawasan berkenaan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, banyak manfaat diperoleh melalui program itu antaranya, sebagai lokasi riadah hujung minggu warga kota serta membuka peluang pekerjaan dan sumber pendapatan melalui pelbagai pengisian yang dirangka.

Menurutnya, DBKL mengambil kira pandangan semua pihak bagi memastikan program yang diadakan itu bertahan lama dan tidak mendatangkan masalah pada masa hadapan.

"Setakat ini, peniaga di bawah Persatuan Peruncit Jalan Batu (Bara) menyokong program yang dijalankan ini.

"Mereka tiada halangan untuk bersama dengan DBKL, asalkan kita tak jual barang yang sama dengan mereka," katanya sewaktu meninjau operasi hari pertama Program Jalan TAR Bebas Kenderaan pada Ahad.

Mengulas lanjut mengenai program itu, beliau berkata, inisiatif tersebut juga ke arah menyediakan 'new content' bagi menarik pelancongan di Kuala Lumpur.

"Apabila sentuh pasal pelancongan, kita tak boleh tumpu satu produk sahaja dan perlu ada sentiasa pembaharuan untuk tarik orang datang dan menikmati persekitaran bandar KL.

Pengunjung memeriahkan Jalan TAR Bebas Kenderaan pada Ahad. Foto Fb DBKL
Pengunjung memeriahkan Jalan TAR Bebas Kenderaan pada Ahad. Foto Fb DBKL

Artikel Berkaitan:

"Bagi tujuan tersebut, kita perlukan benda yang menarik, jadi kita cuba buat konsep ini dan maklum balas diterima juga positif. Selepas ini kita akan menguar-uarkan dan perbanyak publisiti untuk tarik lebih ramai orang datang," katanya.

DBKL pada Jumaat memaklumkan, Jalan TAR akan ditutup kepada kenderaan bagi mewujudkan kawasan pejalan kaki di tengah bandar pada setiap Ahad bermula 28 Ogos 2022.

DBKL akan menutup jalan dari persimpangan Jalan Esfahan ke Jalan Melayu bermula jam 6 pagi hingga 12 malam bagi tujuan itu.

Pelbagai pengisian program dilaksanakan sepanjang penutupan jalan tersebut antaranya persembahan muzik jalanan (buskers), persembahan seni kreatif, seni kraftangan dan sukan tradisional seperti dam haji.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!