Tiada cabaran gugat kempen: Tok Mat
SEREMBAN - Memasuki hari ketujuh berkempen, calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menganggap tidak ada sebarang cabaran perlu dihadapinya.
Katanya, ini kerana tiada apa-apa isu yang boleh menggugat kempen beliau.
"Cabaran berkempen? Tak ada cabaran apa-apa sebab selama ini pun saya bergerak dan jalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
"Setiap minggu saya adakan hari bertemu rakyat di pejabat saya di pekan Rantau walaupun sibuk sebagai Menteri Besar ketika itu. Sebab itu saya dapat jalankan hubungan baik dengan penduduk," katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama BN di sini, hari ini.
Selain itu, katanya, kebanyakan rakyat di Rantau sudah mengenali beliau dan ini memudahkan kempennya.
"Saya lahir dan membesar di sini, jadi tak ada apa-apa isu yang boleh ganggu gugat kempen saya. Saya bukan orang luar datang bertanding di sini.
"Rakyat pun dah kenal say,a maka ia memudahkan kerja saya untuk menghadapi PRK," katanya.
Dalam pada itu, Mohamad menyatakan penghargaan kepada komitmen Pas dalam membantu kempennya.
"Mungkin orang tak berapa nampak komitmen Pas sebab kita dah ubahsuai kempen dengan satukan jentera yang bergerak.
"Pas tak banyak cawangan dan penyokong di sini, jadi kita gabungkan sebagai jentera bersama," katanya.
Mohamad turut mengesahkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan menyertai ceramah perdana bersama beliau sebelum menutup kempen PRK.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!