PRU15: PKR mahu menang 10 kerusi DUN Perak

Lih Kang (duduk, tiga dari kanan) bersama barisan baharu ahli majlis pimpinan negeri PKR Perak.
Lih Kang (duduk, tiga dari kanan) bersama barisan baharu ahli majlis pimpinan negeri PKR Perak.
A
A
A

IPOH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak mengesahkan akan bertanding lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Pengerusinya, Chang Lih Kang berkata, menjadi hasrat partinya dapat memenangi sekurang-kurangnya 10 kerusi DUN untuk membantu Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri.

"Saya tidak boleh beri satu jawapan yang muktamad tetapi saya beri jaminan bahawa PKR akan bertanding lebih daripada bilangan kerusi sebelum ini. Tetapi belum diputuskan kerana rundingan kerusi belum selesai.

"Rundingan kerusi di peringkat pusat akan bermula Khamis ini diikuti rundingan untuk DUN. Sebelum ini kita mungkin 80 hingga 90 peratus sudah selesai.

"Jadi dalam masa sebulan kita akan muktamadkan senarai calon untuk Perak," katanya dalam sidang akhbar pengumuman barisan baharu ahli majlis pimpinan negeri di Pejabat PKR Perak pada Isnin.

Pada PRU14, PKR bertanding di 14 kerusi DUN dan menang empat daripadanya iaitu Simpang Pulai, Teja, Hulu Kinta dan Kuala Kurau.

Ditanya mengenai kedudukan Muhamad Arafat Varisai Mahamad yang disebut akan dilantik sebagai Timbalan Pengerusi, Lih Kang berkata, isu pelantikan ADUN Hulu Kinta itu tidak sepatutnya timbul berikutan senarai Majlis Pimpinan Negeri bagi sesi 2022-2025 telah dimuktamadkan.

Katanya, pelantikan beliau sebagai Naib Pengerusi PKR negeri telah mendapat persetujuan daripada pimpinan pusat parti berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Senarai yang saya bentangkan tadi telah pun mendapat persetujuan dari presiden dan juga Biro Politik, jadi yang isu tadi tidak timbul," jelas beliau.

Pada majlis itu, Lih Kang mengumumkan beliau sebagai Pengerusi PKR Perak manakala Mohd Hairul Amir Sabri dilantik sebagai Timbalan Pengerusi diikuti Muhammad Arafat, S Kesavan dan Abdul Razak Nazri sebagai Naib Pengerusi PKR negeri.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!