MBSJ didik peniaga patuh peraturan, elak dikompaun

Johary (dua dari kiri) ketika merasmikan Program Premis Bebas Kompaun di Dewan Kenanga, MBSJ pada Isnin.
Johary (dua dari kiri) ketika merasmikan Program Premis Bebas Kompaun di Dewan Kenanga, MBSJ pada Isnin.
A
A
A

SUBANG JAYA - Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) melancarkan Program Premis Bebas Kompaun bermula 1 Oktober sebagai pendekatan baharu mendidik para peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berwajib.

Datuk Bandarnya, Datuk Johary Anuar berkata, projek rintis tersebut meliputi 56 premis di sepanjang Jalan USJ 10/1A di sini selama tiga bulan.

Menurutnya, pemilik-pemilik premis di kawasan tersebut akan didedahkan dengan jenis-jenis kesalahan yang memungkinkan mereka dikenakan kompaun.

Johary berkata, antara jenis kompaun yang biasanya dikeluarkan oleh MBSJ ialah seperti meletakkan struktur tambahan di kaki lima bangunan perniagaan, premis tanpa lesen dan tidak mematuhi peraturan penyediaan makanan.

"Program ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada peniaga, tapi dapat meyakinkan masyarakat untuk datang ke premis tersebut kerana sudah pasti mereka mematuhi undang-undang oleh pihak MBSJ.

"Contohnya, jika premis tersebut menjalankan perniagaan berasaskan makanan dan bebas kompaun, kita dapat meyakinkan pelanggan bahawa mereka mematuhi standard tinggi dari segi pematuhan terhadap kebersihan penyediaan makanan serta berlesen.

"Oleh itu, mereka tidak akan terbeban dengan kos-kos tambahan seperti terpaksa membayar kompaun atau pendakwaan di peringat mahkamah," katanya ketika merasmikan program tersebut di Dewan Kenanga, MBSJ pada Isnin.

Dalam pada itu, Johary berkata, program tersebut akan dilancarkan secara rasmi pada 1 Disember tahun ini bagi tempoh setahun daripada tarikh tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, premis-premis yang dijenamakan sebagai premis bebas kompaun ini terus dikekalkan dan tidak ditarik semula, malah ia menjadikan rakan kepada MBSJ dari segi pematuhan peraturan.

"Kita harap program yang dijalankan selama tiga bulan ini dapat mencapai rekod sifar kompaun.

"Sekiranya program ini berjaya, kita akan kembangkan ke kawasan lain dan kita sasarkan di seluruh kawasan MBSJ pada masa akan datang," jelas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!