Warga asing ditahan cabul wanita di tepi jalan
PETALING JAYA - Seorang lelaki warga asing ditahan kerana disyaki mencabul seorang wanita di tepi jalan di sebuah kondominium di Kota Damansara di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam kejadian pada jam 9.30 malam, mangsa berusia lewat 30-an sedang berjalan kaki ke arah kenderaan rakannya yang sedang menunggu di tepi jalan.
"Mangsa mendakwa seorang lelaki warga asing telah memegang dan meramas punggungnya.
"Mangsa telah menjerit, kemudian suspek berjaya melarikan diri dari tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mohamad Fakhrudin berkata, bertindak atas maklumat, suspek berusia awal 30-an ditahan berhampiran pondok pengawal sebuah kondominium di Kota Damansara.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana telah mencabul kehormatan.
"Orang awam yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil atau menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!