Kastam rampas 50 kenderaan import bernilai RM11.36 juta

Antara kenderaan yang dirampas JKDM Zon Tengah dalam Ops Bearing baru-baru ini.
Antara kenderaan yang dirampas JKDM Zon Tengah dalam Ops Bearing baru-baru ini.
A
A
A

KLANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 50 buah kenderaan termasuk sembilan motosikal berkuasa tinggi yang tidak mempunyai permit import (AP) di sekitar Pelabuhan Klang, di sini, baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Mohammad Sabri Saad berkata, rampasan bernilai RM11.36 juta termasuk cukai itu dilakukan menerusi Ops Bearing selama dua minggu bermula 15 Ogos lalu.

"Operasi dijalankan bagi mengesan mana-mana pihak dan individu yang mengelakkan pembayaran cukai import," katanya pada sidang akhbar di Wisma Kastam di sini pada Isnin.

Mohammad Sabri berkata, sebanyak 45 kenderaan import dikesan dan dirampas di Zon Bebas Pelabuhan Klang ini manakala selebihnya lima lagi dirampas di sekitar daerah ini.

"Antara dirampas termasuk kereta jenis Mustang GT, Ford GT40, Mini Cooper Clubman, KTM Adventure 1,290, Honda CB1100 dan Harley Davidson XL1200X," katanya.

Beliau berkata, Ops Bearing itu adalah kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Kenderaan dan motosikal import itu dibawa dari pelbagai negara antaranya Jepun, Amerika Syarikat dan United Kingdom serta Sweden," ujarnya.

Mohammad Sabri berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati ada kenderaan import ini dibawa masuk oleh pelajar antarabangsa yang baru mendaftar di institut pengajian tinggi awam.

Artikel Berkaitan:

"Mereka tidak tahu bahawa ia menjadi kesalahan sekiranya membawa kereta import tanpa mempunyai permit import terdahulu. Namun, kita tidak berkompromi dengan alasan tersebut," katanya.

Mohammad Sabri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1957 kerana cubaan mengimport barangan tidak berkastam.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!