Tindakan tegas terhadap 'Hooligan' aksi final Piala FA
PIHAK polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana penyokong yang sengaja mahu melakukan kekacauan dan keganasan pada perlawanan akhir Piala FA 2022 antara Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 10 September ini.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, kesalahan membabitkan unsur-unsur berkenaan boleh didakwa di bawah Kanun Keseksaan Seksyen 147 atau 160 yang membawa kepada hukuman penjara.
Menurutnya, polis akan sentiasa memantau kehadiran kumpulan-kumpulan yang cenderung mahu melakukan provokasi serta berniat mencetuskan pergaduhan sebelum, semasa dan selepas perlawanan.
“Dalam mesyuarat keselamatan antara PDRM dan FAM serta MFL, sememangnya unsur -unsur ‘gangsterisme’, ‘hooliganisme’ dititikberatkan membabitkan penyokong-penyokong Terengganu FC dan JDT.
“Malah kami sendiri (PDRM) ada bahagian D7 yang berkaitan pencegahan kongsi gelap, maksiat dan sebagainya. Jadi kita sentiasa cakna akan kehadiran kumpulan-kumpulan sebegini yang berpotensi untuk timbulkan kacau ganggu pada malam tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, Zam Halim turut mengingatkan penyokong-penyokong yang datang agar ikhlas dengan niat untuk memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing dan tidak berniat timbulkan apa-apa perkara yang tidak diingini seperti rusuhan dan sebagainya.
"Kita juga menasihatkan para penyokong TFC dan JDT supaya dapat merancang dengan teliti perjalanan ke SNBJ selain memilih pengangkutan awam sebagai medium utama.
"Penonton juga perlu peka dengan barang-barang terlarang yang tidak boleh dibawa seperti payung, ‘powerbank’, pemetik api, senjata-senjata tajam dan sebagainya sebelum masuk ke stadium agar tidak dirampas oleh pihak berkuasa," jelas beliau.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan pada malam tersebut, bukan sahaja perlawanan akhir Piala FA akan berlangsung tetapi beberapa program lain seperti konsert turut diadakan Axiata serta ‘fun fair’ dan ekspo.
“Penonton-penonton yang saksikan perlawanan tersebut diharap dapat gunakan perkhidmatan awam disediakan Prasarana yang telah bersetuju melanjutkan waktu operasi sehingga jam 1 pagi.
“Pihak polis akan mengerahkan 1,500 anggota serta pegawai polis untuk bertugas selain bantuan dari DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan Rela,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!