500 penuntut pertama daftar masuk ke UKKM

Universiti itu menyediakan kursus peringkat diploma dan ijazah terutama dalam bidang keusahawanan

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar (tiga dari kiri) menyampaikan surat tawaran menyambung pengajian ke universiti kepada salah seorang penerima di Majlis Perasmian Karnival Usahawan, Koperasi dan Pendidikan Parlimen Sabak Bernam 2022 di Dataran Usahawan, pada Isnin.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar (tiga dari kiri) menyampaikan surat tawaran menyambung pengajian ke universiti kepada salah seorang penerima di Majlis Perasmian Karnival Usahawan, Koperasi dan Pendidikan Parlimen Sabak Bernam 2022 di Dataran Usahawan, pada Isnin.
A
A
A

SABAK BERNAM - Seramai 500 penuntut dijangka mendaftar di Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) yang mula beroperasi secara rasmi September depan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar berkata, pada masa ini, semua penuntut ditempatkan sementara di Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Petaling Jaya sebelum kampus utama dibuka di Cyberjaya.

Menurut beliau, universiti itu menyediakan kursus peringkat diploma dan ijazah terutama dalam bidang keusahawanan.

"Setakat ini, kita masih menunggu kelulusan akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Karnival Usahawan, Koperasi dan Pendidikan Parlimen Sabak Bernam 2022 di Dataran Usahawan di sini, pada Isnin.

Karnival anjuran Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) selama dua hari itu disertai 20 institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta selain usahawan tempatan.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, UKKM turut menawarkan pengajian sehingga peringkat ijazah doktor falsafah (PhD).

Katanya, penawaran melanjutkan pengajian itu juga dibuka kepada penuntut IKMa sedia ada yang mahu menyambung pengajian.

"Selain itu, universiti berkenaan memberi peluang kepada mereka yang sudah mempunyai diploma keusahawanan untuk meneruskannya di peringkat lebih tinggi," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

"Ini universiti pertama di bawah seliaan KUSKOP dan ia dianggap antara usaha jitu kerajaan dalam membantu pembangunan usahawan terutama belia.

Pada 29 April lalu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) meluluskan penubuhan UKKM yang membuka lembaran baharu dalam usaha memperkasakan agenda keusahawanan di peringkat IPT.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad memaklumkan universiti itu akan dikawal selia Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi memudahkan urusan pentadbiran dan pengoperasiannya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!