Najib habiskan masa catit pendapat di penjara
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini menjalani hukuman 12 tahun penjara menyatakan dia berada dalam keadaan sihat dan tenang.
Dalam satu nota ringkas yang dikongsi menerusi Facebooknya, Najib memaklumkan sebahagian besar masanya kini dimanfaatkan dengan mencatit pendapat.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, meskipun pesanannya itu disampaikan sedikit lewat, namun itu sahaja cara yang mampu dilakukan ketika ini.
“Gina (Nooryana Najwa) beritahu saya ramai yang bertanya khabar dan keadaan saya.
“Buat masa ini saya dalam keadaan sihat, baik dan tenang. Alhamdulillah.
"Saya berpeluang berjumpa peguam dan keluarga saya mengikut masa yang dibenarkan,” katanya.
Selasa lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara selama 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Ahli Parlimen Pekan itu berhubung kes penyelewengan dana SRC International.
Panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimum Tuan Mat menolak rayuan akhir Najib.
Tambah Najib, walaupun kini menjalani hukuman, dia masih lagi mengambil tahu tentang perkembangan isu semasa dan berbincang mengenai urusan mahkamah.
"Saya juga banyak menggunakan masa saya untuk mencatit pendapat saya dan serahkannya kepada peguam atau keluarga untuk dikongsi dengan semua.
“Mungkin akan ada kelewatan sedikit tetapi apa dayanya. Inilah sahaja yang saya dapat buat,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!