Sabah siap sedia hadapi Monsun Timur Laut dijangka November ini
KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka melanda negeri itu bermula November ini hingga Februari tahun depan.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong berkata, seramai 8,432 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi dan jabatan di negeri itu sedia untuk ditugaskan.
Di samping itu, katanya, sebanyak 928 pengangkutan darat, 206 pengangkutan air serta lapan logistik udara juga telah dikenal pasti dan disediakan untuk menghadapi sebarang bencana banjir akibat monsun berkenaan.
Bagi kawasan sukar diakses menggunakan laluan darat, Safar berkata, sebanyak 75 lokasi pendaratan helikopter disediakan termasuk di kawasan berhampiran pusat pemindahan sementara bagi memudahkan urusan pemindahan penduduk dan penghantaran bantuan kepada mangsa
"Selain itu, sebanyak 608 lokasi ‘hotspot’ bencana banjir di Sabah juga telah dikenal pasti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah bagi membincangkan persediaan menghadapi MTL di Menara Kinabalu di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Angkatan Pertawanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Mohtar Samat dan Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Rusli Ibrahim.
Safar berkata, semua pegawai daerah, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, turut diarah bersiap sedia dan mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana di daerah masing-masing pada bila-bila masa.
Kerajaan Sabah sentiasa memantau isu-isu berkaitan dan mengambil langkah sewajarnya bersama jabatan serta agensi terlibat bagi memastikan jentera pengurusan bencana di semua peringkat dapat berjalan lancar, katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!