Inflasi Malaysia meningkat 4.4 peratus
SHAH ALAM - Inflasi Malaysia meningkat 4.4 peratus kepada 127.9 pada Julai lalu berbanding 122.5 bulan sama tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, Indeks Makanan yang meningkat 6.9 peratus kekal menjadi penyumbang utama kepada kenaikan inflasi.
Katanya, bagaimanapun terdapat item makanan yang menunjukkan momentum peningkatan lebih perlahan berbanding Jun lalu antaranya adalah sub kumpulan ikan dan makanan laut sebanyak 4.2 peratus dan sayur-sayuran 7.1 peratus.
“Peningkatan inflasi Malaysia pada bulan ini turut disebabkan oleh kesan asas yang lebih rendah pada tahun lalu berikutan pemberian diskaun bil elektrik dari lima hingga 40 peratus mengikut jumlah penggunaan kepada pengguna domestik di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pada Julai sehingga September 2021.
“Selain daripada kumpulan makanan, kesemua kumpulan lain juga terus merekodkan peningkatan kecuali komunikasi yang kekal tidak berubah berbanding pada bulan yang sama tahun sebelumnya. Restoran dan hotel meningkat 5.8 peratus diikuti oleh pengangkutan (5.6 peratus); hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (4.0 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (3.8 peratus).
“Sementara itu, perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan turut mencatatkan peningkatan sebanyak 2.5 peratus, pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.1 peratus) dan pendidikan (1.2 peratus),” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.
Tambah Mohd Uzir, inflasi bagi tempoh Januari hingga Julai 2022 meningkat 2.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Bagi perbandingan bulanan katanya, inflasi meningkat 0.4 peratus berbanding Jun 2022.
“Peningkatan ini disumbangkan terutamanya oleh peningkatan restoran dan hotel (0.8 peratus) manakala makanan dan minuman bukan alkohol 0.7 peratus; hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.6 peratus) dan pengangkutan (0.5peratus).
“Inflasi teras dan inflasi tanpa bahan api masing-masing mencatatkan peningkatan 3.4 peratus dan 4.2 peratus pada Julai 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
“Kesemua inflasi negeri menunjukkan peningkatan dalam inflasi dengan tiga negeri meningkat melepasi paras inflasi nasional 4.4 peratus,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!