Kantoi bawa motosikal curi, dua lelaki ditahan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LANGAT - Lagak bersahaja dua lelaki menunggang motosikal curi di Jalan Simpang Morib, di sini pada Sabtu lalu terbongkar selepas mereka ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari oleh anggota kereta peronda polis (MPV) untuk pemeriksaan selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, ketika pemeriksaan hendak dilakukan, salah seorang suspek telah melarikan diri ke dalam kebun kelapa sawit berhampiran namun berjaya diberkas.

"Suspek yang lari kira-kira lima meter itu berjaya ditahan. Tiada kecederaan serta pergelutan oleh anggota dan suspek terbabit.

"Pemeriksaan ke atas motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang suspek didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, semakan mendapati motosikal itu dilaporkan hilang dalam kes curi di Banting pada tahun 2020.

Katanya, motosikal serta suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk tindakan lanjut.

"Dua rakan terbabit dipercayai terlibat kes curi motosikal yang dilaporkan itu dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti kegiatan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua suspek berusia 43 tahun itu kini direman selama tiga hari sehingga Selasa untuk siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!