Bayi maut selepas tidak sedarkan diri di rumah pengasuh
SHAH ALAM - Sepasang suami isteri tidak menyangka akan kehilangan satu-satunya cahaya mata mereka apabila bayi itu meninggal dunia beberapa hari selepas dilaporkan tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Seksyen 17 di sini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, ibu bapa mangsa sebelum itu pergi ke rumah pengasuh terbabit selepas dimaklumkan bayi perempuan mereka tidak sedarkan diri sekitar jam 4 petang pada 19 Ogos lalu.
"Pemeriksaan di Hospital Salam, Seksyen 19 mendapati ada kesan lebam di dahi dan disyaki ada pendarahan di otak bayi berusia 10 bulan itu.
"Susulan itu, bapa mangsa yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun telah membuat laporan polis pada hari sama sekitar jam 8 malam," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mohd Iqbal berkata, bagaimanapun pada 22 Ogos, mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Shah Alam.
Kejadian itu tular di media sosial selepas seorang pengguna Facebook menggunakan nama See Kay yang dipercayai bapa mangsa memuat naik satu hantaran pada Ahad menceritakan kronologi kejadian tersebut.
Dalam hantarannya, See Kay berkata, beberapa hari sebelum kejadian, mangsa dikatakan lebih mesra tidak seperti biasa dan tidak mahu berjauhan daripada kedua ibu bapanya serta sering berjaga sehingga ke awal pagi.
Dalam pada itu Mohd Iqbal berkata, pengasuh bayi terbabit merupakan seorang wanita tempatan berusia 36 tahun.
Menurutnya, wanita terbabit mengasuh lapan kanak-kanak berusia antara tiga bulan hingga empat tahun di kediamannya secara sendirian.
"Pengasuh terbabit sedang mengandung lima bulan dan setakat ini masih belum ada tangkapan dilakukan sementara siasatan lanjut dijalankan.
"Bedah siasat telah dijalankan pada 23 Ogos, bagaimanapun polis masih menunggu keputusan bedah siasat tersebut," katanya
Beliau berkata, kes disiasat di bawah seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!