Hargai sebuah kemerdekaan

Pada tahun ini, rakyat Malaysia akan meraikan Hari Kebangsaan ke-65 bertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’.
Pada tahun ini, rakyat Malaysia akan meraikan Hari Kebangsaan ke-65 bertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’.
A
A
A

SEJAK tahun 1957 iaitu 65 tahun lalu, rakyat Malaysia tidak pernah melupakan tarikh 31 Ogos kerana detik itu menjadi saksi kepada kemerdekaan tanah tumpah darah kita.

Pada tahun ini, rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama akan meraikan Hari Kebangsaan yang ke-65 bertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’.

Acara sambutan Hari Kebangsaan 2022 secara fizikal besar-besaran itu akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur selepas kali terakhir diadakan di sana pada tahun 2017.

Persiapan rapi telah dibuat oleh penganjur dan rakyat Malaysia tidak sabar untuk meraikannya. Pada cuti hujung minggu lepas, ada segelintir ibu bapa tidak melepaskan peluang membawa anak-anak melihat raptai yang diadakan.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, bermula 1 Ogos, pelbagai program telah dirangka dan dilaksanakan untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan.

Pada pendapat penulis, semangat cintakan tanah air perlu disemai dan dibaja semua lapisan masyarakat agar kesinambungan keamanan dan kemakmuran negara dirasai oleh anak cucu kita pada masa akan datang.

Banyak yang terpaksa kita lalui untuk mencapai kemerdekaan dan mempertahankannya demi sebuah negara yang kita cintai.

Menyingkap kembali tempoh masa itu, kita tidak pernah terlepas dilanda badai, melalui pelbagai kenangan suka dan duka melibatkan kemelut politik, ekonomi, kesihatan, keselamatan dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

Namun, semangat perpaduan dan kebersamaan anggota masyarakat bertunjangkan kekuatan keharmonian pelbagai bangsa dan agama di negara ini, kita masih bertahan dan memastikan anak cucu kita menikmati kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang.

Kebersamaan dan kerjasama rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik menjadi kunci kepada kekuatan negara dan apa yang kita miliki hari ini.

Bagi umat Islam, tentunya iman dan takwa menjadi senjata paling utama untuk mendapat keberkatan dalam kita membina negara yang aman, makmur dan sejahtera.

Buktinya, setiap rakyat Malaysia tidak akan pernah melupakan usaha perancangan kerajaan dalam mendepani krisis kesihatan bermula pada Mac 2020 iaitu pandemik Covid-19 yang memberikan impak kepada negara.

Usaha pemulihan yang dilakukan fasa demi fasa telah menghasilkan kejayaan dalam mendepani krisis itu. ‘Kita Jaga Kita’ bergema di setiap ceruk untuk mengingatkan anggota masyarakat mengenai Covid-19.

Semua pihak bermula pemimpin negara sehinggalah anak kecil mempunyai peranan yang besar dalam usaha menjayakan usaha dan perancangan kerajaan.

Berkonsepkan Keluarga Malaysia yang mempunyai tiga teras utama iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran, kita mempunyai tanggungjawab yang besar untuk bersama-sama membantu menstabilkan dan memacu kejayaan kepada negara.

Apabila negara sudah merdeka dan tidak dijajah lagi, penulis berharap tidak ada lagi pemimpin atau sesiapa sahaja mengambil kesempatan atas kepercayaan rakyat. Jangan mengkhianati bangsa, negara dan agama untuk kepentingan sendiri!

Sebagai rakyat Malaysia, bersamalah kita pertahankan keharmonian yang kita miliki, usah membuat onar dan provokasi untuk memecahbelahkan perpaduan yang kita nikmati.

Kukuhkan semangat kejituan, hormati Rukun Negara, kebersamaan dan menghormati di antara satu sama lain.

Pada pendapat penulis, Hari Kemerdekaan adalah hari raya untuk rakyat Malaysia.

Penyertaan daripada pemimpin kerajaan, pihak swasta dan korporat yang menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan dilihat menambahkan lagi kemeriahan sambutannya.

Bagaimanapun, menjelang sambutan kemerdekaan, landskap politik negara juga membayangkan akan adanya PRU15 dalam masa terdekat. Mereka yang mengepalai parti politik perlu lebih matang dalam mendepani kemelut yang berlaku dalam parti.

Di samping itu, usahlah menaip kata-kata nista di laman sosial, malahan ada yang cuba menarik perhatian dengan melakukan perkara yang ‘hilang adab’ untuk mendapatkan perhatian, mencemarkan keamanan dan kesejahteraan.

Sama-samalah kita menghargai keamanan, kemakmuran dan kejayaan kita miliki hari ini. Didik anak bangsa untuk lebih menghargai dan pertahankan negara, jauhkan diri daripada hasad dengki untuk memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian yang kita ada. Sayangi Malaysia!

* Norshahzura Mat Zuki Koordinator Advertorial Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!