PM umum khabar gembira buat 1.6 juta penjawat awam hari ini
PUTRAJAYA - Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) yang berlangsung jam 10 pagi ini dijangka akan menjadi tumpuan 1.6 juta penjawat awam dari seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri akan mengumumkan sesuatu yang menceriakan bagi mengubat duka lara para penjawat awam.
Khabar gembira itu boleh jadi 'durian runtuh' buat penjawat awam yang selama ini menjadi tulang belakang kerajaan setelah bertungkus-lumus dalam memberi perkhidmatan terbaik buat rakyat.
Ismail Sabri sebelum ini dilaporkan berkata, ketika negara berdepan pandemik Covid-19 ada banyak cerita kesedihan petugas kesihatan yang berkorban jiwa raga dan nyawa dalam menangani virus itu.
Katanya, jasa dan pengorbanan mereka sebagai wira tidak didendang akan terus terpahat dalam lipatan sejarah.
Sementara, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, pihaknya mengemukakan tuntutan gaji minimum dan kenaikan imbuhan tetap khidmat awam sebagai penambahbaikan dalam perkhidmatan awam.
Cadangan itu katanya, dilihat dapat memberikan kelegaan kepada penjawat awam khususnya dengan kenaikan kos sara hidup ketika ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!