Griezmann wira Atletico
PERCATURAN pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone memasukkan Antoine Griezzmann dan Thomas Lemar pada babak kedua nyata membuahkan hasil apabila kedua-dua pemain itu menjadi kunci kepada kemenangan pasukannya ke atas Valencia awal pagi Selasa.
Pada aksi yang berlangsung di Mestalla Stadium, Griezmann menjadi wira buat Atletico Madrid apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan dan bijak menyudahkan hantaran Lemar sekali gus memastikan Atletico memperoleh kemenangan kedua daripada tiga perlawanan pertama musim ini.
“Perlawanan ini bukan mudah kerana lawan (Valencia) mempamerkan aksi berintesiti tinggi selain berjaya mengawal bola dengan baik berbanding kami.
“Bagaimanapun dengan adanya beberapa pemain di barisan hadapan seperti Morata, Griezmann dan Carrasco pada separuh masa kedua, ia banyak membantu untuk mencipta beberapa peluang dan menyudahkannya.
“Bagi Griezmann, sekiranya dia berjaya mengekalkan prestasinya seperti perlawanan ini, saya rasa dia tahu apa yang akan dilakukan kepadanya selepas ini,” kata Simeone.
Kemenangan itu menyaksikan Atletico kini menghuni tangga keenam liga selepas mengumpul enam mata dalam tiga perlawanan.
Selepas ini anak buah Simeone bakal bertemu Real Sociedad pada aksi keempat La Liga yang dijangka bakal diadakan pada Ahad ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!