Jelajah AKM Kedah tawar ayam, beras hanya RM10
ALOR SETAR - Pengunjung Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Kedah yang berlangsung pada 2 hingga 4 September ini berpeluang menikmati pembelian seekor ayam dan beras lima kilogram (5kg) dengan harga lebih murah iaitu pada kadar RM10 sahaja.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, untuk itu, sebanyak 6,000 pek ayam dan beras tersebut disediakan kepada pengunjung sepanjang tiga hari AKM berlangsung.
"Kita akan sediakan 2,000 pek beras dan ayam setiap hari pada 11 pagi sekali dan kemudian pada sebelah petang sekali. Maksudnya kita buat dua kali sehari,” katanya dalam temu bual sempena Jelajah AKM negeri Kedah disiarkan di radio Buletin FM pada Selasa.
Che Murad Sayang berkata, pelbagai program menarik ditawarkan kepada pengunjung antaranya pertandingan memancing dan liga sepakan penalti selain program gunting rambut serta servis basikal oleh pihak GiatMara.
Selain itu, beliau berkata terdapat 60 usahawan di bawah KPLB dan 80 usahawan daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi terlibat dalam pembukaan reruai pada jelajah kali ini.
Jelajah AKM Negeri Kedah akan berlangsung di pekarangan Stadium Darul Aman di sini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!