Laksana pemutihan peniaga di Lembah Sireh
KOTA BHARU - Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) kini sedang melaksanakan pemutihan melibatkan peniaga di sebuah kawasan di Lembah Sireh di sini.
Yang Dipertuanya, Rosnazli Amin berkata, kawasan berkenaan merupakan hak milik persendirian dan bukan di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Menurutnya, PBT itu menerima rungutan daripada pelbagai pihak mengenai gangguan parkir dan kebersihan ketika 200 hingga 250 peniaga menjalankan perniagaan tanpa kebenaran.
"Keadaan di kawasan itu tidak teratur selain menyukarkan orang ramai meletakkan kenderaan terutama ketika waktu puncak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Local Agenda 21, Program Gotong-royong Zon Bersih Indah Ceria Pasar Siti Khadijah pada Selasa.
Rosnazli memberitahu, bagaimanapun MPK-BRI akan memberi peluang kepada peniaga terlibat berniaga di pasar malam, Bandar Baru Tunjong.
"Pasar malam itu lebih teratur dan mempunyai penganjur yang mendapat kelulusan pihak berkuasa," katanya.
Tambah beliau, PBT itu mahu penganjur yang mengikut peraturan bagi memudahkan pengurusan sampah selain mengelakkan masalah dengan peniaga gudang di Lembah Sireh.
"Paling penting bagi kami ialah bersikap adil terhadap semua peniaga dan keadaan lebih tersusun.
Sebelum ini, tular satu gambar bunting MPKB-BRI mengenai notis yang melarang peniaga berniaga di kawasan itu bermula 26 Ogos lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!