GPM lancar Tabung Kecemasan Bencana Banjir Pakistan

GPM menyasarkan kutipan dana sebanyak RM1 juta menerusi Tabung Kecemasan Bencana Banjir Pakistan.
GPM menyasarkan kutipan dana sebanyak RM1 juta menerusi Tabung Kecemasan Bencana Banjir Pakistan.
A
A
A

SHAH ALAM - Global Peace Mission (GPM) Malaysia melancarkan Tabung Kecemasan Bencana Banjir Pakistan dengan sasaran pengumpulan dana sebanyak RM1 juta untuk disalurkan segera kepada mangsa bencana banjir di Pakistan.

GPM menerusi kenyataan pada Selasa berkata, dana yang dikumpul itu akan diberikan untuk tujuan bantuan perubatan, bekalan makanan dan tempat perlindungan sementara kepada semua mangsa terjejas.

Menurut GPM, korban akibat bencana banjir di Pakistan telah melepasi angka 1,000 orang dan 119 kematian dicatatkan dalam tempoh 24 jam yang lepas.

"Bencana yang semakin buruk ini menyebabkan 66 wilayah di Balochistan, Sindh, Khyber Pakhtunkhwa dan juga Punjab telah diisytiharkan darurat. Seramai 33 juta rakyat Pakistan kini memerlukan bantuan kemanusiaan segera.

"GPM yang mengikuti rapat situasi yang berlaku di Pakistan telah berhubung dengan Kedutaan Malaysia di Pakistan dan memaklumkan kesediaan untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan segera kepada mereka yang terjejas," ujarnya.

Banjir dahsyat itu dilaporkan melanda Pakistan sejak Jun lalu sebelum ia dilaporkan bertambah buruk ketika ini.

GPM memberitahu, mereka juga telah menerima surat permohonan daripada Kedutaan Pakistan di Malaysia bagi menyalurkan bantuan segera.

"GPM dijangka menghantar pasukan pertamanya ke Pakistan pada awal bulan depan," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

GPM berkata, pihaknya turut mengalu-alukan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) lain serta individu dan badan korporat untuk turut bersama dalam usaha bantuan kemanusiaan berkenaan.

Sumbangan boleh disalurkan melalui www.pedulipakistan.com atau pindahan wang ke akaun Maybank Global Peace Mission bernombor 564221611602 dengan rujukan #PeduliPakistan.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Ketua Pegawai Operasi GPM, Syahrir Azfar Saleh melalui talian 03-4144 3441 atau 013 222 6057.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!