BN bidas PH guna kanak-kanak dalam kempen
SEREMBAN - Pemimpin BN membidas tindakan PH yang didakwa menggunakan kanak-kanak dalam kempen PRK DUN Rantau malam tadi.
Calon BN yang juga Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, eksploitasi kanak-kanak untuk kempen adalah tidak bersesuaian.
"Terpulanglah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan boleh atau tidak. Tetapi bagi saya tidak berapa sesuai untuk mengeksploitasi kanak-kanak sebagai bahan kempen atau dialatkan untuk berkempen," katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama BN di sini, hari ini.
Terdahulu, aktivis Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard memuat naik gambar kanak-kanak yang didakwanya turut berada dalam sebuah program anjuran PH dihadiri calonnya, Dr S Streram malam tadi.
Sementara itu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, beliau agak kecewa dengan perkara tersebut.
"Ini memang dari dulu mereka buat. Kalau kita buat mereka kata kita eksploitasi kanak-kanak, tapi semalam mereka guna kanak-kanak.
"Saya harap benda ini dapat dielakkan sebab ini adalah pentas politik. Sewaktu PRK ia tidak sesuai untuk melibatkan kanak-kanak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!